SEPTEMBER 2020

Projek Percubaan Transit Aliran Autonomi Pada 2023


KUCHING: Projek Transit Aliran Autonomi (ART) bakal dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dalam masa tujuh tahun, dan akan diuji terlebih dahulu di kawasan Kuching, seawal 2023.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pembiayaan projek tersebut akan berada di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

"Pelaksanaan projek itu menelan kos RM6 bilion kerana menggunakan teknologi baharu dan ia lebih murah berbanding sebelumnya," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas menandatangani perjanjian antara Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan UDA Holdings Berhad, di Hotel Grand Margherita, hari ini.

Katanya, ART ini tidak menggunakan rel tetapi ia menggunakan jalan raya.

“Kita perlu memperluaskan jalan yang ada dan jalan yang khusus untuk ART ini.

"Sementara, pelaksanaan projek ART ini berada di bawah agensi Sarawak Metro dan mereka akan menyusun perincian seperti cadangan laluan, lorong lalu lintas dan stesen ART," katanya lagi.

Dalam pada itu, Pengerusi SEDC, Tan Sri Datuk Amar Dr Abdul Aziz Datuk Husain berkata, perkhidmatan ini dijangka memulakan operasi komerisal menjelang tahun 2025.

"Ia akan diuji pada tahun 2023 di kawasan Kuching dan selama percubaan tersebut, kita akan melihat keseluruhan sistem ART," katanya.

Katanya lagi, laluan yang dicadangkan untuk operasi komersial ini ialah di Kuching ke Kota Samarahan dan Kuching hingga Batu 12 (Jalan Kuching - Serian).

Sumber dari : Jiwa Bakti