Ogos 2019

Projek Jambatan Muara Lassa Bukti Usaha Berterusan Kerajaan GPS


DARO: Projek jambatan Muara Lassa adalah usaha kerajaan Sarawak untuk menghubungkan keseluruhan rumah panjang, kampung dan pekan kecil yang terletak di kawasan pesisir pantai daripada selatan hingga ke utara Sarawak.

Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Julaihi Narawi berkata, kos projek jambatan bernilai RM597.58 juta itu ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ia bakal memberikan impak terutama dari segi ekonomi kepada penduduk Daro dan kawasan sekitarnya.

Jambatan itu adalah satu lagi rangkaian projek jalan pesisir yang akan dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 8 September ini.

Katanya, jambatan Muara Lassa 2.43 kilometer adalah yang kedua terpanjang di Sarawak, selepas Jambatan Batang Lupar sepanjang 5.1 kilometer.

“Jambatan ini dijangka siap dalam tempoh 48 bulan adalah sebahagian daripada rangkaian projek jalan pesisir sepanjang 896 kilometer di Sarawak,” jelasnya.

“Pembinaan jambatan ini jelas membuktikan kerajaan GPS yang komited dan akan menunaikan janjinya untuk rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat projek pembinaan Jambatan Muara Lassa, di sini tengahari tadi.

Terdahulu, Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau mempengerusikan mesyuarat akhir persiapan Majlis Pecah Tanah Jambatan Muara Lassa di bilik mesyuarat Pejabat Daerah Daro.

Katanya lagi, majlis pecah tanah projek jambatan tersebut penting untuk memaklumkan kepada penduduk di kawasan sekitarnya bahawa inilah antara usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Sarawak.

Hadir sama, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, ADUN Daro, Safiee Ahmad, ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi, Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datu Safri Zainudin.

Sumber dari: Jiwa Bakti