KUALA LUMPUR: Kerajaan masih meneruskan projek Lebuh Raya Trans Borneo yang akan menghubungkan negara Brunei Darussalam, Indonesia dengan Sarawak dan Sabah di Malaysia.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, jajaran bagi Lebuh Raya Trans Borneo ini terdiri daripada Lebuh Raya Pan Borneo, Sarawak – Sabah Link Road dan beberapa jajaran di Lebuh Raya Trans Borneo yang masih belum dimulakan (missing links).
Jelasnya, setelah pengumuman dari pihak Kerajaan Indonesia untuk memindahkan ibu negara Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan, maka kerja-kerja untuk menyiapkan Trans Borneo Highway ini di sebelah Indonesia telah digiatkan.
"Jalan baru dari Simanggaris ke Malinau di Indonesia telah pun siap dan kerja-kerja untuk membina jalan baru dari Malinau ke Long Midan Kerayan di sempadan Malaysia telah dimulakan.
"Oleh itu, terdapat keperluan untuk menyiapkan Lebuh Raya Pan Borneo, Sarawak – Sabah Link Road dan beberapa Trans Borneo missing links di sebelah Malaysia untuk melengkapkan laluan Trans Borneo ini secara keseluruhannya," katanya dalam jawapan bertulis pada Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14.
Sementara itu, beliau menambah, bagi Lebuh Raya Trans Borneo dari Kalabakan ke Simanggaris, kementeriannya akan berbincang dengan Kementerian Kewangan dan Kerajaan Negeri bagi menentukan hala tuju dan keutamaan projek ini dalam RMKe-12.
"Pada masa ini, kerajaan akan menumpukan kepada penyiapan Lebuh Raya Pan Borneo dan Sarawak – Sabah Link Road Fasa 1 terlebih dahulu," ujarnya. -EDISI UKAS
Sumber dari : Unit Komunikasi Awam Sarawak