KUCHING: Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) lama di sini akan diubahsuai untuk menjadi pusat persembahan kesenian serba canggih dengan kos RM200 juta, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Haji Johari bin Tun Datuk Abang Haji Openg.
Projek pengubahsuai tersebut akan dilaksanakan dalam RMK12 di mana pusat ini nanti akan dilengkapkan dengan peralatan yang canggih dan juga pentas besar dan pentas kecil, ujar beliau dalam ucapan perasmian bersempena program Muzikal Sarawak Harmoni di Dewan Santapan DUN.
Program tersebut anjuran Majlis Seni Sarawak bertujuan untuk memberi penghargaan kepada anggota barisan hadapan daripada pelbagai agensi yang telah menyumbangkan khidmat bakti dalam usaha bersama untuk memerangi jangkitan COVID-19 sejak bulan Februari yang lalu.
Turut hadir isteri Ketua Menteri, Datuk Amar Hajjah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang.
Datuk Patinggi Abang Haji Johari berkata walaupun Kerajaan Negeri begitu gigih membangunkan ekonomi Sarawak, bidang kesenian tidak diabaikan.
Malah TV Sarawak telah ditubuhkan untuk menjadi saluran bagi mempamerkan seni budaya Sarawak yang unik dan halus, ujar beliau.
Bagi pihak Kerajaan Sarawak, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para petugas barisan hadapan yang telah mengenepikan kepentingan diri dan keluarga semata-mata untuk berkhidmat kepada negeri dan negara untuk mengekang penularan COVID-19.
Beliau berkata sepanjang tempoh sembilan bulan memerangi COVID-19, Kerajaan Sarawak melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri telah membelanjakan RM80 juta termasuk perbelanjaan kuanratin di hotel-hotel yang ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri bagi rakyat Sarawak.
Turut berucap Menteri Pelancongan yang juga Menteri Belia, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah.
Sumber dari : Sarawakku