OKTOBER 2020

Pelihara Hidupan Laut, Peruntukan RM70 Juta Dilulus Tanam Tukun Tiruan


SEMATAN:  Kerajaan Sarawak menerusi Jabatan Hutan Sarawak (SFC), mempergiatkan  usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hidupan marin dengan melabuh 1,100 lagi unit tukun tiruan di perairan Sempadi-Tanjung Datu.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, selain dapat melindungi habitat pembiakan laut daripada ancaman aktiviti pukat tunda haram, ia juga mewujudkan habitat kawasan pembiakan hidupan laut.

“Berbanding sebelum ini, ikan sentiasa kena curi oleh mereka yang melakukan aktiviti pukat tunda dan banyak penyu mati disebabkan aktiviti tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran melabuh tukun tiruan di perairan Sempadi-Tanjung Datu, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Pembangunan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.3 Tanjung Datu, Datuk Amar Jamilah Anu dan ahli kenamaan yang lain.

Abang Johari berkata, sehubungan itu, untuk memulihara persekitaran laut yang merupakan sumber pendapatan nelayan, Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan berjumlah RM70 juta untuk menanam tukun tiruan, sepanjang perairan Sarawak.

“Usaha ini sekali gus memberi manfaat dan menambah hasil nelayan di seluruh negeri ini,” katanya sambil menambah, ia telah menunjukkan impak positif khasnya kepada nelayan.

Beliau berkata, berbanding sebelum ini, pendapatan nelayan hanya mencecah RM100, namun, setelah usaha ini dilaksanakan, mereka mampu mengutip hasil sebanyak RM300 sehari.

Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi berkata, usaha ini juga dapat menjadi kawasan ini (Sematan-Tanjung Datu) sebagai kawasan tarikan pelancongan.

“Ini kerana, kawasan ini mempunyai alam sekitar yang cantik dan sekiranya kawasan perairan ini banyak hasil ikan, ia membuka peluang kepada penggemar aktiviti memancing untuk datang ke kawasan tersebut.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan juga mahu membina jalan raya dari Kuching menerusi Seniawan, Bau. Ia akan disambungkan ke Jalan Pan Borneo yang menghubungkan Lundu, Sematan dan Telok Melano.

Sehubungan itu, dengan adanya kemudahan ini, kawasan Tanjung Datu, Sematan dan Lundu akan cerah. 

"Ramai pelancong yang akan datang ke sini, mereka akan sewa perahu, tempat penginapan akan penuh dan tempat makan turut penuh," katanya.

Justeru, katanya, ini merupakan usaha jangka panjang mantan Ketua Menteri, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem yang perlu diteruskan untuk kebaikan penduduk setempat.

Setakat ini, SFC berjaya menanam lebih 5,000 unit tukun tiruan sejak 2018.

Abang Johari turut menyampaikan cek berjumlah RM131,746 untuk program pemeliharaan penyu di Pulau Talang-Talang kepada Pegawai Daerah Lundu, Gustian Duranidi dan sijil Sukarelawan Renjer Penyu kepada 17 penerima.

Beliau juga menyerahkan cek bantuan input peralatan perikatan nelayan N.3 Tanjung Datu berjumlah RM640,000.

Sumber dari : Jiwa Bakti