KUCHING: Pembangunan sektor pertanian di negeri ini akan diperkasakan dengan peruntukan sebanyak RM797 juta seperti yang diperuntukkan dalam Bajet Negeri Sarawak 2020.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah dan Pembangunan Wilayah, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, peruntukan bagi tahun 2020 itu meningkat 77 peratus atau sebanyak RM347 juta berbanding jumlah yang diperuntukkan pada tahun 2019.
Selain peruntukan Bajet Negeri Sarawak 2020, kementerian terbabit turut mendapat peruntukan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, katanya semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya di DUN di sini hari ini.
Peruntukan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu, katanya, diagihkan kepada lapan jabatan dan agensi iaitu Jabatan Pertanian Sarawak, Jabatan Veterina, Jabatan Pengairan dan Saliran, IADA Kalaka Saribas-Betong, IADA Saramahan, IADA Batang Lupar, Jabatan Perikanan Laut Sarawak dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia.
Bagi tahun 2020, peruntukan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu ialah RM88.9 juta dan akan dibelanjakan bagi membiayai 48 program pembangunan pertanian di Sarawak, katanya.
Menurut Uggah, peruntukan daripada Kementerian Perusahaan Utama bagi tahun 2020 ialah RM66.32 juta iaitu kurang 9.4 peratus.
Pengurangan peruntukan daripada Kerajaan Pusat bagi pembangunan pertanian itu pasti meninggalkan kesan kepada rancangan Kerajaan Sarawak untuk membangunkan lagi sektor pertanian di negeri ini, katanya.
Bagaimanapun, tegas Uggah, Kerajaan Sarawak sedaya upaya memperkasakan sektor pertanian di negeri ini dengan membelanjakan peruntukan dalam Bajet Negeri Sarawak 2020 selepas mengambil kira pengurangan peruntukan daripada Kerajaan Pusat.
Kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mengambil berat terhadap masalah dihadapi pekebun kecil ekoran kejatuhan harga komoditi seperti kelapa sawit, getah dan lada, katanya, akan menyedia bantuan dalam bentuk input pertanian seperti baja dan racun rumpai bagi membantu mengurangkan kos pengeluaran.
Beliau berkata, untuk tahun 2020, kerajaan akan terus menyokong pekebun kecil kelapa sawit dan lada dengan menyedia peruntukan RM10 juta di bawah inisiatif Program Tabung Fasilitasi Pertanian (AFF).
Bagi Bantuan Musim Tengkujuh untuk pekebun getah, beliau berkata, Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan sebanyak RM4.2 juta di bawah AFF dan dalam pada itu juga menggalakkan mereka mempelbagaikan tanaman.
“Penglibatan petani dalam kegiatan tambahan ini akan dibiayai di bawah Program AFF,” tegas beliau dan menambah, dalam usaha Sarawak untuk menjadi pengeksport makanan menjelang 2030, Kerajaan menggalakkan lebih ramai usahawan dan belia menerokai sektor pengeluaran makanan bersama dengan rantaian pembekal.
Ini termasuk memberi keutamaan kepada penggunaan kaedah pertanian moden dan teknologi digital, katanya.
Kerajaan Sarawak, tambahnya, turut menyediakan peruntukan sebanyak RM9.1 juta bagi membantu 6,078 nelayan di bawah Bantuan Musim Tengkujuh Nelayan dengan setiap seorangnya mendapat RM300 sebulan untuk tempoh selama lima bulan pada musim landas.
Sumber dari: Jiwa Bakti