KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing mengajak masyarakat menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan norma baharu.
Ujarnya, masyarakat perlu maklum keadaan pandemik COVID-19 masih belum reda yang bukan sahaja melanda negeri Sarawak malah seluruh dunia.
“Seperti mana yang kita maklum negara kini masih berdepan dengan pandemik COVID-19 malah di seluruh dunia dan juga Sarawak turut terkesan.
“Jadi Hari Raya pada tahun ini kita sambut dengan norma baharu,” katanya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri 2021 pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan di musim perayaan.
“Saya juga berharap orang ramai kekal memakai pelitup muka, jaga penjarakan sosial atau tidak besalaman semasa kita meraikan Hari Raya ini.
“Sentiasa menjaga kebersihan diri, kita jaga kita,” tambahnya. -EDISI UKAS
Sumber dari : Unit Komunikasi Awam Sarawak