Ogos 2019

Rakyat Perlu Kekal Bersama Kerajaan Sarawak Dalam Pastikan Agenda Pembangunan Tercapai


BAU: Rakyat di negeri ini perlu kekal bersama kerajaan Sarawak dalam memastikan semua agenda pembangunan yang sedang dirancang dan giat dilaksanakan mencapai matlamatnya.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan negeri sentiasa memastikan apa juga dasar dan program pembangunan yang diambil adalah berpaksikan kepada rakyat.

"Pendekatan itu penting dalam usaha memakmurkan negeri serta mensejahterakan rakyat pelbagai kaum dan agama di Sarawak," katanya pada Majlis Pelancaran GPS Peringkat DUN Serembu di Dewan Kampung Skio, Bau, semalam.

Hadir sama, ADUN Serembu, Miro Simuh, ADUN Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep, ADUN Layar, Gerald Rentap Jabu dan ADUN Bukit Semuja, John Ilus.

Sementara itu, Datuk Amar Douglas Ugga memberitahu, rakyat perlu kekal bersatu hati dalam memastikan Sarawak dapat mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

Menurut beliau, Ketua Menteri, Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah sedaya upaya mempertahankan, melindungi, dan menuntut balik hak-hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Justeru, rakyat perlu realistik dalam meletakkan harapan kepada kerajaan negeri untuk menjamin masa depan yang cerah dan gemilang pada masa depan," katanya. -Edisi UKAS

Sumber dari: Unit Komunikasi Awam Sarawak