KUCHING: Rakyat negeri ini diminta bersabar dalam menghadapi cabaran norma baharu dalam kehidupan sekarang berikutan penularan Covid-19.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ketika negara masih lagi menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), rakyat perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) demi keselamatan bersama.
Sehubungan itu katanya, sambutan Hari Raya pada tahun ini berbeza berbanding tahun sebelumnya.
“Meskipun berbeza cara sambutan Hari Raya pada tahun ini, namun saya berharap ia dapat mengukuhkan silaturrahim dalam kalangan keluarga, memupuk semangat hormat-menghormati, perpaduan, kerjasama antara semua kaum," katanya dalam perutusan Selamat Hari Raya.
Jelasnya, tradisi rumah terbuka tidak dibenarkan tahun ini, namun orang ramai masih boleh berinteraksi dan bermaaf-maafan menerusi pelbagai platform media sosial seperti Facebook, aplikasi Whatsapp, Instagram dan lain-lain.
"Ini adalah norma baru yang harus kita tempuhi. Kita harus bersabar menghadapi cabaran ini dan saya yakin jika kita teguh bersama, wabak ini akan dapat dihapuskan bersama," ujarnya.
Justeru, beliau berharap agar masyarakat akan terus hidup bersatu padu supaya keadaan ekonomi negara dapat dipulihkan seterusnya kesejahteraan rakyat dapat dipertingkatkan.
"Saya mengucapkan selamat menyambut Hari Raya kepada semua yang merayakannya,” katanya.
Sumber dari : Jiwa Bakti