KUCHING: Masyarakat Iban yang masih mengamalkan upacara ‘miring’ diminta untuk melakukan upacara itu di bilik masing-masing.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Dr James Jemut Masing berkata perayaan Hari Gawai dan upacara seperti ‘miring’ adalah ritual yang sangat individualistik.
“Dalam upacara ini setiap keluarga, diminta untuk memberikan sesuatu kepada dewa.
“Dewa ini dipuja supaya menolong keluarga yang meraikan Hari Gawai,” katanya dalam suatu kenyataan.
Tambah Masing, pertolongan yang dicari adalah sangat spesifik dan hanya tertumpu untuk kepentingan keluarga sendiri.
“Atas sebab ini setiap bilik diminta membuat upacara itu sendiri semasa perayaan Hari Gawai di rumah panjang.
“Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang melarang lawatan semasa Hari Gawai tidak bertentangan dengan etika ritual tersebut.
“Ia hanya mengurangkan kegembiraan sambutan perayaan sahaja,” ujarnya.
Jelasnya lagi, air ‘tuak’ dan makanan adalah bahan penting semasa perayaan Hari Gawai kerana dewa-dewa yang diundang menghadiri perayaan akan mengambil bahagian mereka.
“Setelah pergi mereka akan memberi rahmat yang baik kepada keluarga yang menyambut perayaan itu.
“Ritual Iban lain yang melibatkan seluruh masyarakat, bagaimana pun mempunyai fokus dan alasan yang berbeza.
“Mereka lebih berhati-hati dan tujuannya adalah untuk kebaikan umum masyarakat,” katanya.
Beliau turut menjelaskan upacara ‘miring’ yang dilakukan di negeri ini hanyalah sebagai suatu simbolik perayaan Hari Gawai sahaja.
Sumber dari : Suara Sarawak