APRIL 2020

Sambutan Ramadhan Dan Gawai Luar Norma, Ketua Menteri Mohon Semua Tabah


KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Zohari Tun Abang Haji Openg mohon ketabahan semua dalam menjalani ibadah puasa serta perayaan Gawai yang pada kali ini disambut luar daripada kebiasaan susulan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) wabak COVID-19.

“Dalam pada kita sedang menghadapi gejala wabak COVID-19 dan berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya dengan kesempatan ini bagi pihak Kerajaan Sarawak ingin mengucapkan selamat menjalani ibadah Puasa di bulan Ramadhan kepada seluruh kaum Muslimin di negeri ini.

“Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Gawai Dayak kepada kaum Dayak memandangkan perayaan Gawai akan tiba tidak lama lagi.

“Keadaan semasa tidak membenarkan kita melakukan ibadah puasa atau menyambut perayaan Gawai seperti keadaan biasa dan saya amat berharap kita semua tabah menghadapi segala kekangan semasa berkuatkuasanya PKP,” katanya dalam satu kenyataan, Khamis.

Ekoran jumlah kematian tinggi berpunca daripada COVID-19, Ketua Menteri berharap semua untuk terus mematuhi PKP, selain memastikan tiada penganjuran perhimpunan.

“Saya amat berharap setiap lapisan masyarakat terus patuh kepada PKP memandang jumlah korban yang agak tinggi bagi Sarawak sementara usaha sedaya upaya sedang dilaksanakan oleh pelbagai pihak untuk memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19.

“Antara langkah-langkah yang harus terus dipatuhi ialah mempastikan tiada perhimpunan diadakan selagi keadaan tidak mengizinkan dan mengamalkan disiplin diri dari segi kesihatan agar jangkitan dapat dikekang, ujarnya.

Tegasnya lagi, mana-mana individu yang mempunyai kontak rapat dengan individu positif COVID-19 diperlukan untuk menjalani saringan.

“Bagi mereka yang ada mempunyai kontak dengan mereka yang telah disaring positif berhubunglah dengan pihak kesihatan terdekat untuk menjalani saringan,” katanya.

Sumber dari : TVSarawak