APRIL 2021

Sarawak Bakal Guna Vaksin CanSino


KUCHING: Kerajaan Sarawak telah meminta Kerajaan Pusat membekalkan vaksin CanSino Covid-19 bagi memastikan semua penduduk di negeri ini menerima suntikan vaksin demi keselamatan mereka. 

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, vaksin buatan negara China tersebut hanya memerlukan satu dos suntikan merupakan vaksin yang paling sesuai untuk penduduk di Sarawak terutama mereka yang tinggal di kawasan pendalaman.

"Kami telah memohon sekitar 600,000 hingga 800,000 vaksin CanSino Covid-19 daripada Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar baru-baru ini untuk dibekalkan ke Sarawak.

 "Vaksin tersebut akan digunakan untuk melancarkan program vaksinasi terutama untuk penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman," katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini, semalam.

Uggah, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menambah, Khairy juga bersetuju bahawa penduduk Sarawak yang tinggal di luar bandar tidak perlu mengikuti fasa kedua dan ketiga program vaksinasi Covid-19.

Sehubungan itu katanya, kerajaan akan memberikan vaksin kepada semua penduduk di luar bandar sekali gus tanpa perlu memilih siapa yang akan menerima vaksin bagi fasa kedua atau ketiga.

"Fasa kedua program vaksinasi mulai 19 April depan akan bermula di bahagian Sibu, diikuti semua pusat vaksinasi di seluruh Sarawak," tambah beliau lagi.

Manakala Uggah turut menggesa orang ramai yang belum mendaftar sebagai penerima vaksin untuk melakukannya melalui aplikasi MySejahtera atau berdaftar di pejabat daerah dan klinik kesihatan awam.

Katanya, sebilangan besar penduduk luar bandar tidak memiliki aplikasi MySejahtera dan disebabkan itu kaedah pendaftaran secara manual telah dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan.

"Kita akan membantu penduduk untuk mengisi maklumat mereka ke sekretariat MySejahtera di Kuala Lumpur dan setakat ini, sejumlah 66 peratus penduduk Sarawak telah mendaftar untuk menjadi penerima vaksin," katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti