JANUARI 2021

Sarawak Bantu Pelajar Bayar Baki Tunggakan PTPTN


KUCHING, Isnin: Kerajaan Sarawak akan membantu para pelajar Sarawak untuk membayar balik pinjaman PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) yang tertunggak sebagai pemberian insentif seperti yang dijanjikan sebelum ini, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg pada sidang media pagi ini di Wisma Bapa Malaysia.

Kerajaan GPS Sarawak telah mempertuntukkan RM30 juta untuk tujuan tersebut, jelas Datuk Patinggi Abang Haji Zohari pada sidang media yang diadakan bersempena majlis ringkas untuk menyerahkan dua buah bas sumbangan Kerajaan Sarawak kepada Politeknik Mukah dan Politeknik Metro Betong pada suatu majlis ringkas yang diadakan di perkarangan Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya.

Datuk Patinggi Abang Haji Zohari menyatakan Kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak telah mengadakan rundingan dengan PTPTN untuk menentukan kaedah pembayaran balik tunggakan kepada PTPTN.

“Sekarang ini baru sahaja selesai perbincangan antara Yayasan Sarawak dan PTPTN; sudah ada formula bagi kita membantu pelajar Sarawak menyelesaikan tunggakan dengan PTPTN di mana kita telah menyediakan peruntukan sebanyak RM30 juta,” ujar beliau.

Pemberian insentif tersebut akan membantu para pelajar menyelesaikan 30 % daripada baki hutang mereka dengan PTPTN yang melibatkan seramai 9,634 pelajar, jelas Yayasan Sarawak ketika dihubungi.

Menyentuh mengenai bantuan lain kepada para pelajar Sarawak, Datuk Patinggi Abang Haji Zohari menyatakan Kerajaan GPS Sarawak telah membantu para pelajar Sarawak dari segi kos tambang balik ke Sarawak ketika musim perayaan bagi pelajar-pelajar Sarawak yang menuntut di Semenanjung Malaysia.

Kerajaan Sarawak juga telah mengambil inisiatif untuk menyediakan perkhidmatan bas sekolah percuma kepada para pelajar, khususnya di bandaraya Kuching untuk meringakan beban perbelanjaan ibu-bapa, ujar beliau.

Perkhidmatan ini yang dikelolakan oleh Yayasan Sarawak akan dikembangkan ke bandar-bandar lain di Sarawak pada masa akan datang, ujar beliau lagi.

Mengenai Pendidikan pra-sekolah, beliau menyatakan Tadika Sedidik yang sebelum ini di bawah kelolaan SEDC telah diambil alih oleh Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak untuk mempastikan pendidikan pra-sekolah di Sarawak lebih tersusun dan berstruktur.

Kerajaan Sarawak telah membelanjakan hampir RM600,000 untuk membeli dua buah bas tersebut dengan kapasiti 25 penumpang bagi kegunaan pelajar dan pelaksanaan aktiviti di kedua-dua politeknik tersebut.

Ini ekoran permohonan para pelajar yang dikemukakan semasa sesi Town Hall “Berambeh ngan Abang Jo” bersempena Karnival Today for Tomorrow (T4T) pada 6 Julai 2019 di Mukah dan 15 Disember 2019 di Betong, Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Zohari telah bersetuju untuk menyumbangkan dua buah bas bagi kegunaan kedua-dua politeknik tersebut.

Sumber dari : Sarawakku