KUCHING: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan RM81 juta bagi memperkasakan operasi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam memerangi Covid-19 di negeri ini.
Pengerusi JPBN, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata peruntukan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, diluluskan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini.
"Peruntukan itu termasuk menubuhkan makmal ujian rT-PCR Covid-19 di Kapit memandangkan terdapat beberapa kes baharu yang direkodkan di bahagian berkenaan selain sampel yang diambil memerlukan masa yang lama," katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media harian Covid-19 Sarawak, di sini hari ini.
Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, Kerajaan Sarawak bersungguh-sungguh memainkan peranan sehingga menyediakan peruntukan besar untuk membendung penularan pandemik itu.
"Peruntukan ini juga digunakan untuk menyediakan kemudahan kuarantin, pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah (PKRC) serta menambah katil di hospital.
"Dengan kata lain, Kerajaan Sarawak sentiasa memastikan JPBN dibekalkan dengan segala keperluan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya.
Menurut Uggah, semua yang dilakukan ini ialah untuk kepentingan seluruh rakyat Sarawak.
"Bagaimanapun, usaha memerangi Covid-19 ini tidak akan berkesan sekiranya rakyat tidak memberi kerjasama," katanya.
Justeru, beliau berharap rakyat terus bekerjasama dengan kerajaan untuk menghentikan penularan Covid-19 di negeri ini.
Sumber dari : Jiwa Bakti