DISEMBER 2019

Sarawak Guna Dana Sendiri Biayai Projek Pembangunan - Abang Johari


LINGGA: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kesal dakwaan pihak yang tidak bertanggungjawab mendakwa kerajaan Sarawak mengganggu rizab negeri bagi membiayai pelbagai projek pembangunan.

Menurut Abang Johari, kerajaan Sarawak membuat pinjaman Bank Pembangunan Sarawak (DBoS) bagi melaksanakan projek rakyat seperti jambatan, jalan raya, bekalan air dan api serta projek lain membabitkan kos hampir mencecah RM13 bilion.

“Kita buat pinjaman, kita akan bayar balik kerana negeri kita memperoleh pendapatan sebanyak RM10 bilion setahun, dibayar menerusi setiap Belanjawan Sarawak dalam masa tertentu.

“Saya kesal dakwaan pihak tertentu berhubung perkara ini. Saya cadangkan mereka belajar kursus perakaunan di ‘business school’ sebelum menuduh kita.

“Saya tegaskan di sini kita (Sarawak) tidak meminjam duit daripada pihak luar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Pusat Perkhidmatan dan pembinaan Tebingan Sungai Lingga di sini, hari ini.

Sumber dari : Jiwa Bakti