DISEMBER 2019

Kerajaan GPS Rancang Bangun Taman Perumahan CUEPACS - Abang Jo


KUCHING: Mulai 1 Januari, 2020, semua kakitangan perkhidmatan awam sama ada Jabatan Persekutuan atau Jabatan Negeri menikmati potongan 70 peratus ke atas caj menyambung bekalan elektrik yang berharga RM5,001 hingga RM10,000 di rumah yang baharu dibeli.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, bagi sambungan bekalan elektrik berharga RM5,000 adalah percuma.

“Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) membuat keputusan ini supaya berlaku adil terhadap semua kakitangan perkhidmatan awam di negeri ini,” katanya semasa merasmikan pembukaan Bangunan Kongres Kesatuan Sekerja Dalam perkhimatan Awam (CUEPACS) di sini hari ini.

“Mengenai permohonan Pengerusi CUEPACS Negeri Sarawak, Ahmad Mahlie yang meminta kerajaan negeri menyedia sebuah taman perumahan untuk kakitangan awam di sini, Ketua Menteri berkata, kerajaan Sarawak memang ada perancangan untuk membangunkannya di kawasan baharu antara Samarahan ke Tanjung Bako dan Pusat Borneo Konvensyen Kuching (BCCK).

Selain itu, beliau berkata, kerajaan Sarawak juga mendapati kawasan antara Lundu-Sematan juga boleh dibangunkan.

“Dalam masa tiga hingga empat tahun, apabila kita membuka jalan baharu dari Samarahan ke Tanjung Bako kemudian membina jambatan dan jalan raya hingga ke BCCK, kawasan baharu ini kelak boleh dibangunkan menjadi kawasan perumahan.

“Begitu juga kawasan antara Lundu-Sematan, apabila jambatan Rambungan siap kelak, tempat ini akan mudah dihubungi. Kita akan membangunkan kawasan ini secara lebih tersusun untuk kesenangan rakyat,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Ketua Menteri turut membayangkan sektor swasta akan memain peranan lebih penting dalam menggerakkan pembangunan negeri Sarawak yang berazam mahu mengembangkan sektor pertanian sebagai asas pertumbuhan ekonomi.

“Pihak sektor mesti kita sokong kerana mereka akan menjadi majikan bagi kebanyakan graduan pada masa depan, membangunkan ekonomi digital dan pertanian moden,” tegas beliau sambil menambah, khidmat yang kakitangan awam tiada batasan antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.

Justeru, beliau mengajak semua kakitangan awam di negeri ini supaya mengeratkan lagi semangat kerjasama dan kolaborasi dalam usaha bersama-sama membangunkan negeri ini.

Sementara itu, Pengerusi CUEPACS, Ahmad Mahlie dalam ucapan aluannya berkata, sumbangan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak dalam membantu CUEPACS di negeri ini akan terpahat di hati CUEPACS dan bangunan itu akan dijadikan model solidariti 14 kesatuan sekerja yang bergabung dalam CUEPACS.

Beliau menggesa ahli-ahli CUEPACS supaya menggemblengkan tenaga membantu membangunkan Sarawak sebagai tanda balasan jasa baik Kerajaan GPS.

Hadir sama Setiausaha Persekutuan Negeri Sarawak, Muhd Shahabuddin Omar dan Presiden CUEPACS, Aseh Muda.

Sumber dari : Jiwa Bakti