DISEMBER 2020

Sarawak Harus Melabur Dalam Program Restorasi Hutan: Abg Jo


KUCHING: Negeri Sarawak harus melabur ke dalam program untuk merestorasikan hutan di Negeri ini setelah berdekad industri balak memberikan pulangan utama kepada hasil Negeri Sarawak, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Haji Johari Tun Datuk Abang Haji Openg hari ini, di sini.

Beliau menjelaskan hasil hutan Sarawak bukanlah yang terbesar lagi ekoran usaha kerajaan negeri untuk melebarkan asas kutipan hasilnya dengan memperkenalkan sumber hasil baharu.

Beliau menyatakan demikian dalam Sidang Media sempena pelancaran Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Peringkat Negeri Sarawak bertempat di Bukit Siol (DBKU) di sini.

Sejurus tiba di tapak penanaman beliau dijemput oleh Pengarah Hutan Sarawak, Datu Haji Hamden untuk begerak ke tempat yang telah disediakan untuk menanam benih pokok belian, iaitu pokok ikon Negeri Sarawak sebagai gimik pelancaran.

Datuk Patinggi Abang Haji Johari berkata industri pembalakan Sarawak telah mengalami penguncupan dan sekaranglah masa untuk menanam semula hutan yang sudah ditebang supaya industri tersebut mampu diangkat balik pada masa hadapan.

“Hasil hutan Sarawak hanya RM300 juta berbanding royalti air sebanyak RM600 pada tahun lepas, ujar beliau.

Usaha untuk menanam semula kawasan yang sudah ditebang melalui para pemegang konsesi tidak begitu berjaya pada masa lampau dan Kerajaan Negeri sekarang mewajibkan penanaman semula, jelas beliau.

Kerajaan Negeri juga melabur melalui Jabatan Hutan untuk melaksanakan program restorasi hutan meliputi seluruh kawasan di Negeri ini dengan peruntukan sebanyak RM62 juta.

“10.5 juta pokok telah ditanam sejak tahun lepas meliputi kawasan seluas hampir 10 ribu hektar,” kata beliau.

Berikut adalah Kenyataan Media penuh Datuk Patinggi Abang Haji Johari:

KOMITMEN KERAJAAN NEGERI

Kerajaan Negeri Sarawak sentiasa memberikan sokongan yang padu untuk melaksanakan kempen penanaman pokok melalui Program Restorasi Landskap Hutan. Kerajaan Negeri menjadikan program ini sebagai Agenda Utama untuk menghijaukan bumi Sarawak.

Sebagai rekod, Negeri Sarawak dipayungi oleh kawasan berhutan seluas 7.9 juta hektar atau 63 peratus daripada keluasan negeri ini. Oleh itu, Kerajaan Negeri mempunyai peluang yang amat cerah untuk meneroka sumber pandapatan baharu iaitu perdagangan karbon atau carbon trading. Sekiranya program ini dapat direalisasikan, pada masa akan datang Kerajaan Negeri dapat mengurangkan kebergantungan terhadap aktiviti pembalakan dan industri perkayuan sebagai sumber pendapatan.

Sehubungan dengan itu, dalam budget RMK-12, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM62 juta kepada Jabatan Hutan Sarawak untuk melaksanakan program restorasi ini di seluruh Negeri Sarawak.

Pada masa hadapan, Kerajaan Negeri ingin melihat Sarawak sebagai negeri yang seimbang dari segi pembangunan dan kelestarian alam sekitar.

SAMBUTAN TERHADAP PROGRAM RESTORASI

Sejak dilancarkan pada bulan Jun tahun 2019 yang lalu, perlaksanaan program Restorasi Landskap Hutan telah mendapat kerjasama dan penyertaan yang amat baik daripada pelbagai pihak.

PROGRAM RESTORASI PERINGKAT KEBANGSAAN

Kempen penanaman pokok yang kita laksanakan pada hari ini merupakan sebahagian daripada program Restorasi Landskap Hutan yang kita laksanakan di Negeri Sarawak dan sekaligus menyokong kepada perlaksanaan Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Malaysia (KeTSA).

Sehubungan dengan itu, Negeri Sarawak menyasarkan untuk menanam sebanyak 35 juta pokok atau 35 peratus secara keseluruhan pokok yang akan di tanam di Malaysia sepanjang RMK-12 iaitu bermula tahun 2021 hingga 2025. Secara purata, setiap tahun bagi tempoh lima tahun akan datang, sebanyak 7 juta pokok akan di tanam di seluruh Negeri Sarawak.

PENCAPAIAN PROGRAM RESTORASI DI SARAWAK

Kita yakin dapat mencapai sasaran penanaman ini dengan mudah kerana berdasarkan rekod penanaman pokok yang dilaksanakan sejak dilancarkan tahun lepas sehingga 20 Disember tahun ini (2020), sebanyak 10,452,607 pokok yang merangkumi 50 spesies dengan keluasan 9,732.14 hektar di seluruh Negeri Sarawak. Ini kita laksanakan melalui pelbagai program penanaman yang meliputi kawasan pembalakan, ladang hutan, kawasan hutan simpan, kawasan terlindung sepenuhnya, tanah NCR termasuklah tanah-tanah milik persendirian.

Saya amat yakin kita boleh menanam lebih daripada 35 juta pokok di seluruh Negeri Sarawak melihat daripada perkembangan semasa dan semangat rakyat Sarawak yang ingin terlibat sama menjayakan kempen penghijauan bumi ini.

Justeru, bagi menjayakan program penghijauan ini di masa hadapan, kita ingin menyeru supaya lebih ramai masyarakat tempatan akan terlibat secara aktif terutamanya dalam menubuhkan tapak semaian bagi membekalkan anak benih pokok tempatan yang komersial dan/atau menyediakan perkhidmatan penanaman dan rawatan silvikultur. Penglibatan sebegini secara langsung akan dapat menjana pendapatan kepada mereka sekaligus meningkatkan taraf hidup penduduk tempatan dalam jangka masa panjang.

Kita juga ingin mengucapkan setinggi penghargaan kepada pihak NGOs, agensi swasta dan korporat serta agensi kerajaan yang telah terlibat dalam melaksanakan program ini. Walau bagaimanapun, saya ingin menggalak lebih banyak penyertaan golongan ini di masa hadapan bagi menyumbang kepada penghijauan Sarawak dan Malaysia secara amnya demi kesejahteraan sejagat.

PROGRAM RESTORASI LANDSKAP HUTAN DI SARAWAK

Untuk terus memperkasakan lagi perlaksanaan program ini, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Hutan Sarawak juga turut mengeluarkan arahan iaitu setiap syarikat pembalakan perlu melaksanakan aktiviti restorasi di kawasan lesen masing-masing.

Sebagai sokongan kepada perlaksanaan program ini serta memastikan benih-benih pokok yang bernilai dan berkualiti tinggi sentiasa mencukupi, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Hutan Sarawak turut membangunkan semula tiga (3) tapak semaian yang sedia ada iaitu Sabal Forest Landscape Restoration (FLR) Centre, Simunjan, Sarawak Tree Improvement Centre, Sibu dan Forest Research Station, Niah.

Kerajaan Negeri juga turut membangunkan dua (2) lagi tapak semaian yang baharu dan luas iaitu di Kayangeran, Lawas dan Bintawa, Kuching. Kerajaan Negeri juga turut menggalakkan semua pihak untuk membangunkan tapak semaian masing-masing.

POKOK BELIAN SEBAGAI POKOK WARISAN SARAWAK

Pada pagi ini, kita telah menanam pokok belian yang telah diisytiharkan sebagai pokok warisan Negeri Sarawak. Kita berharap generasi akan datang dapat melihat sendiri dan menghargai tentang keunikan pokok warisan ini.

Oleh itu, Kerajaan Negeri akan mewujudkan sekurang-kurangnya 1 hektar di kawasan Bukit Siol, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) sebagai Taman Dirian Pokok Belian yang moden dan terancang di kawasan Petra jaya ini.

PENUTUP

Sebelum mengundur diri, saya ingin mengucapkan terima kasih dan syabas kepada Jabatan Hutan Sarawak dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) serta semua pihak yang terlibat sama menjayakan program pada pagi ini.

Kerajaan Sarawak akan terus menghijaukan Negeri Sarawak melalui program Forest Landscape Restoration (FLR) dan sekaligus menyokong usaha Kerajaan Pusat untuk menanam sebanyak 100 juta pokok bagi tempoh 5 tahun yang akan datang di seluruh Malaysia.

Sekian terima kasih.

Sumber dari : Sarawakku