SIBU: Malaysia perlu berbalik kepada asas penubuhan negara ini, yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia merupakan pandangan daripada Sarawak dan beliau yakin pengiktirafan terhadap asas ini akan memperkukuhkan lagi semangat kenegaraan kesemua bahagian ini terhadap Malaysia.
"Percayalah, melabelkan Sarawak sebagai kedaerahan tidak akan membantu penyatuan negara," katanya.
Beliau berkata demikian pada Sambutan Hari Malaysia 2020, di sini hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta pemimpin-pemimpin kabinet Negeri dan Persekutuan. Hadir sama, isteri Ketua Menteri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Abang Johari berkata, Sarawak dan Sabah pastinya hanya mahu kuasa-kuasa yang terhakis, secara sengaja atau tidak sengaja akan dikembalikan kepada negeri-negeri berkenaan.
"Sehubungan itu, saya mengucapkan terima kasih kepada persetujuan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam beberapa perkara," katanya.
Antara perkara tersebut ialah:
i. Obligasi kewangan persekutuan di bawah senarai bersama diangkat dan dibincangkan di dalam Majlis Kewangan Negara.
ii. Semakan semula pemberian khas kewangan kepada negeri.
iii. Royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum dan perkara berkaitan minyak dan gas dibincang bersama antara Perdana Menteri dan Ketua Menteri.
iv. Kuasa pembekalan gas diberi kepada Sarawak.
v. Pemantapan kolaborasi antara kerja raya persekutuan dan negeri.
vi. Memberi kuasa kepada negeri untuk membuat peraturan-peraturan tenaga buruh di bawah Ordinan Buruh.
vii. Penubuhan jawatankuasa khas kesihatan untuk membincangkan perkara berkaitan isu kesihatan di Sarawak.
viii. Perwakilan kuasa pelancongan kepada negeri dilaksanakan secara “case to case basis”.
ix. Pemberian kuasa penuh secara berfasa di bawah subjek alam sekitar dibuat kepada Kerajaan Negeri berdasarkan peruntukan di bawah 95C tanpa memerlukan sebarang pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.
Gambar: Jabatan Penerangan
Sumber dari : Jiwa Bakti