SEPTEMBER 2020

Kerajaan GPS Sokong Muhyiddin Tadbir Negara


SIBU: Kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memutuskan untuk memberi sokongan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mentadbir negara ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ini kerana Sarawak tidak ingin melihat Malaysia terjejas daripada keadaan yang tidak menentu.

“Syukur Alhamdullilah, Sarawak sebagai sebuah entiti politik telah memainkan peranan yang penting untuk memastikan negara ini mampu distabilkan semula dan terbentuknya sebuah Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang terus menggalas tanggungjawab untuk mentadbir negara dengan berkesan,” katanya berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2020 di Stadium Tertutup, di sini, malam ini.

Majlis itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta pemimpin-pemimpin kabinet Negeri dan Persekutuan.

Bagi pihak rakyat Sarawak, Abang Johari mengucapkan syabas dan terima kasih kepada kerajaan di peringkat Persekutuan sebagai sebuah kerajaan yang berfungsi dan memahami aspirasi dan kehendak rakyat. 

Kejayaan Malaysia mengekang penularan pandemik Covid-19 membuktikan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyidin mampu mentadbir negara seperti yang diharapkan oleh rakyat.

“Sarawak juga mengalukan-alukan dan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas pelbagai kategori Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang telah dihulurkan kepada golongan yang terkesan oleh pandemik Covid-19 untuk meringankan beban mereka,” katanya.

Gambar: Jabatan Penerangan

Sumber dari : Jiwa Bakti