DISEMBER 2020

Sarawak Mencontohi Estonia, Korea Selatan


KUCHING: Sarawak patut mencontohi Estonia dan Korea Selatan dalam usaha mengejar impian untuk menjadi sebuah negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Haji Johari Tun Datuk Abang Haji Openg.

Estonia adalah bekas sebuah wilayah Rusia yang telah menjalani transformasi menjadi sebuah ekonomi berpaksikan teknologi digital terunggul di Eropah daripada sebuah ekonomi mundur, ujar Datuk Patinggi.

Sementara itu, ekonomi Korea Selatan, daripada sebuah negara yang dimusnahkan oleh peperangan  telah bangkit menjadi harimau Asia oleh kerana sumber manusianya yang sungguh mantap, ujar beliau lagi. 

Beliau menyatakan demikian dalam ucapan sempena Majlis Penyampaian Anugerah Sarawak Civil Service Innovation Convention Awards (SCSICA) 2020 di BCCK, di sini.

Datuk Patinggi Abang Haji Johari berkata beliau yakin Sarawak boleh mengikuti jejak langkah Estonia untuk membangunkan sebuah ekonomi yang berasaskan teknologi digital.

“Jika Estonia boleh saya yakin Sarawak juga boleh di rantau ini,” kata beliau.

Beliau juga yakin Sarawak boleh mencontohi Korea Selatan, dahulunya di belakang Malaysia, sekarang sudah jauh meninggalkan Malaysia walaupun negara itu tidak mempunyai sumber semulajadi.

Saya amat percaya jika digabungkan faktor teknologi, sumber manusia dan sumber alam, Sarawak mampu mengejar impian untuk menjadi negeri maju seperti negara-negara tersebut kerana ciri-ciri berkenaan sudah ada pada Sarawak, ujar beliau.

Berucap terdahulu ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion.

Turut hadir Speaker DUN, Datuk Amar Haji Asfia Awang Nassar dan Setiausaha Persekutuan, Datuk Haji Mohd Shahabuddin bin Omar.

Sumber dari : Sarawakku