OGOS 2020

Sarawak Mengorak Langkah Jadi Pengeksport Makanan Menjelang 2030


BAU: Sarawak kini giat mengorak langkah dalam usaha menjadi pengeksport produk makanan menjelang tahun 2030.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat Dan Pembangunan Wilayah, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan negeri kini memberi penekanan kepada pertanian moden dalam meningkatkan pengeluaran produk pertanian dan makanan.

Jelasnya, ini kerana pada masa sekarang import makanan dari luar adalah kira-kira RM4 bilion.

"Pertanian mampu mengeluarkan masyarakat dari kemiskinan. Oleh itulah sebab kerajaan GPS Sarawak di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Jo menekankan bahawa satu bidang yang perlu mengatur langkah membangunkan negeri Sarawak adalah pertanian moden dengan cara yang baru.

"Dengan menggunakan benih dan teknologi yang baru pendapatan petani akan bertambah. Sarawak mempunyai banyak pengalaman sebagai satu contohnya mengeskport khinzir ke Singapura.

"Malah, dalam masa pandemik COVID-19, Sarawak telah menggunakan satu aplikasi untuk melakukan jualan secara atas talian," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Community Extention Outreach Programme (CEOP) di Dewan Kampung Kopit, Bau, hari ini.

Hadir sama ialah, ADUN Serembu, Miro Simuh, ADUN Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep, ADUN Batu Kitang, Lo Khere Chiang, Setiausaha Tetap, Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat Dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Edwin Abit serta tetamu jemputan lain.

Sementara itu, Datuk Amar Douglas Uggah memberitahu, penganjuran CEOP penting untuk memaklumkan program pertanian yang baru kepada rakyat.

Malah katanya, kerajaan Sarawak telah memperuntukkan dana berjumlah RM265 juta untuk Agriculutre Facilitation Fund (AFF).

"AFF ini sememangnya tidak cukup untuk kawasan DUN oleh itu kerajaan negeri menyediakan 'Venture Capital' di bawah kementrian saya untuk membantu petani yang telah berjaya dari segi subsidi dan yang ingin menambahkan modal tetapi tidak lulus pinjaman bank.

"Kerajaan negeri juga telah bersetuju menambah peruntukkan AFF bagi kawasan Serembu sebanyak RM1 juta lagi untuk tahun ini dengan syarat ianya dilaksanakan pada tahun ini yang tinggal 3 bulan lagi," katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, bagi mengatasi masalah bekalan rantaian hasil pertanian, Persatuan Peladang Kawasan (PPK) akan digerakkan untuk memainkan peranan memproses sebelum mereka memasarkan hasil produk pertanian.

"Peranan PPK juga dapat membantu memastikan segala syarat-syarat yang dikenakan oleh negara luar dipenuhi agar mematuhi standard yang ketat untuk dieskport ke negara tersebut," katanya. -EDISI UKAS

Sumber dari : Unit Komunikasi Awam Sarawak