PADAWAN: Jalan Padawan sepanjang 30 Km akan menjadi lebih selamat dan selesa untuk para pengguna setelah kerja-kerja naik taraf dalam dua fasa jalan tersebut siap sepenuh beberapa tahun lagi.
Pagi tadi Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Haji Zohari Tun Abang Haji Openg telah melancarkan untuk Fasa 1 yang kerja-kerja telahpun bermula pada Februari lepas.
Fasa 1 adalah sepanjang 15 Km dengan kos RM35 juta yang dianugerahkan kepada Treca Bina Sdn Bhd melalui tender terbuka.
Dalam ucapan pelancarannya Datuk Patinggi Abang Jo menyatakan pada asalnya projek naik taraf tersebut adalah di bawah tanggungjawab kerajaan persekutuan.
“Tetapi apabila BN kalah pada PRU14, kerajaan PH yang mengambil alih telah membatalkan projek tersebut,” jelas beliau.
Berikutan pembatalan projek tersebut oleh kerajaan PH, kerajaan Sarawak telah membuat keputusan untuk mengambil alih dengan peruntukan Sarawak sendiri, ujar beliau.
Datuk Patinggi Abang Jo memberi jaminan bahawa fasa kedua akan diteruskan dengan kemungkinan anggaran asal sebanyak RM70 juta akan meningkat akibat kos-kos memindahkan utiliti dan kenaikan harga bahan binaan.
Fasa 1 ini dijangka siap pada September 2022.
Turut berucap Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Rolland Sabah Wee Inn dan Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelsbuhan, Datuk Julaihi Haji Narawai.
Antara yang hadir ialah Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Datuk Michael Manyin Jawong dan Duta Khas Malaysia ke Asia Timur, Datuk Richard Riot Jaem.
Sumber dari : Sarawakku