OKTOBER 2020

Sarawak Sasar Wujud 1 Juta Hektar Kawasan Lindungan Sepenuhnya


KUCHING: Kerajaan Negeri berhasrat mencapai 4.5 juta hektar hutan untuk dikeluarkan sijil pengesahan unit pengurusan hutan setelah berjaya mengeluarkan sijil pengesahan ke atas 1.3 juta hektar hutan pada 2017.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pengeluaran sijil pengesahan unit pengurusan hutan adalah mandatori untuk memastikan kawasan pembalakan dalam jangka masa panjang.

Menjelang 2022 semua kawasan pembalakan dalam jangka masa panjang harus memiliki sijil pengesahan, katanya pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi Warga Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli di sini.

Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli berkata, pada 15 Jun, 2019, Ketua Menteri telah melancarkan program pemuliharaan landskap hutan untuk memulihara kawasan yang hutan yang telah ditebang.

“Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM62 juta untuk melaksanakan program berkenaan mulai 2020 hingga 2025,” tegas beliau sambal menambah, kementerian terbabit telah berjaya menggubal dan melaksanakan beberapa dasar sejak lima tahun lalu.

Antaranya adalah Dasar Perhutanan Sarawak 2019; Dasar Pengesahan Pengurusan Hutan: Dasar Mengkaji Semula Penanaman Hutan; Dasar Transformasi Industri Balak dan Dasar Penerokaan Kayu Getah, tambah beliau.

“Kementerian akan terus berusaha mengkaji semula dasar, undang-undang, peraturan dan prosedur sedia ada untuk memastikannya mengambil kira perkembangan dan keperluan semasa,” katanya.

Menurut Awang Tengah, oleh kerana hasil sektor perhutanan kini menurun disebabkan pengeluaran balak yang semakin berkurangan, Kerajaan Negeri akan mencari sumber pendapatan baharu daripada sektor perhutanan iaitu perdagangan karbon.

Projek itu adalah untuk melindungi dan memulihara kawasan supaya bersifat mesra alam, manfaat kepada masyarakat setempat, teguh dari segi kewangan dan diiktiraf di pasaran antarabangsa bagi produk karbon dan mesra alam, katanya.

Beliau berkata, kerajaan komited menghasil produk nilai tambah berasaskan kayu oleh kerana pengeluaran balak dari hutan semula jadi semakin berkurangan.

Justeru industri terbabit, katanya, perlu melalui proses pengeluaran semula di kilang dan pengoperasian balak.

Ini adalah sejajar dengan perubahan jenis bahan mentah yang boleh diperoleh pada masa depan seperti balak daripada kawasan penanaman hutan yang memiliki ciri-ciri fizikal berlainan daripada hutan semula jadi.

Awang Tengah berkata, Kerjaaan Sarawak turut komited melindungi hidupan liar dan satu daripada strateginya ialah melindungi habitat asal dengan mewujudkan Kawasan Lindungan Sepenuhnya (TPA).

“Kita mensasar untuk mewujudkan 1 juta hektar TPA dan dewasa ini kita telah berjaya mewujud 867,000 hektar Kawasan Lindungan Sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi Warga Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli di sebuah hotel, malam tadi.

Sumber dari : Jiwa Bakti