NOVEMBER 2020

Sarawak Teliti Wujud Syarikat Penerbangan Sendiri


KUCHING: Kerajaan Sarawak berhasrat mewujudkan syarikat penerbangan sendiri yang pernah dicadangkan sebelum ini oleh Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF), kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. 

Katanya, beliau bersetuju dengan cadangan untuk menubuhkan syarikat penerbangan sendiri untuk membawa pelancong ke Sarawak, menerusi lokasi strategik seperti Hong Kong, Jepun dan Australia.

Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Sarawak masih meneliti pendekatan terbaik berhubung hasratnya untuk mewujudkan syarikat penerbangan tersebut. 

"Kita masih meneliti pendekatan yang tepat, mungkin tidak sepenuhnya di bawah kerajaan tetapi akan dilaksanakan bersama-sama sektor swasta,” katanya. 

Beiau berkata demikian pada sesi Webinar Ketua Menteri  bertajuk 'Bajet Sarawak 2021: Ke Arah Masyarakat Berpendapatan Tinggi 2030, di sini hari ini. 

Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi berkata, kerajaan juga merancang memperluaskan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) bagi menampung peningkatan jumlah pesawat dan kedatangan pelawat selepas pandemik Covid-19. 

"Perancangan ini dilaksanakan kerana lapangan ini sudah mencapai kapasiti penuh dan sesak pada ketika ini,” katanya sambil menambah, dalam beberapa tahun yang akan datang, lapangan terbang ini tidak lagi mampu menerima jumlah pelawat dan pesawat menerusi landasan sedia ada.

Bagaimanapun, Abang Johari berkata, masih terlalu awal mendedahkan perancangan kerajaan pada masa ini.

Sumber dari : Jiwa Bakti