KUCHING: Kerajaan Sarawak menyediakan beberapa inisiatif bagi mempromosikan produk kayu dan industri tambah nilai, di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, industri kayu di negeri ini mengalami trend menurun sejak awal tahun ini, berikutan pandemik Covid-19.
Menurutnya, antara inisiatif tersebut, pemain industri perlu menyusun semula rancangan tindakan mereka dengan memfokuskan pada produktiviti yang lebih tinggi.
"Mengembangkan operasi papan lapis yang sedia ada dan penubuhan kilang bagi mendorong penggunaan papan lapis untuk pembuatan perabot, lantai dan pintu," katanya semasa sidang media industri kayu anjuran Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu (PUSAKA), di sini hari ini.
Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan berkata, kajian dan pembangunan (R&D) berhubung peningkatan penggunaan spesies kayu yang ditanam, untuk pengeluaran produk bernilai tambah tinggi juga perlu dilaksanakan.
"Selain itu, menubuhkan ladang buluh dan pengembangan industri berasaskan buluh serta menubuhkan Pusat Reka Bentuk Sarawak (SARADEC) untuk mempromosikan reka bentuk, inovasi dan kreativiti," katanya.
Awang Tengah menjelaskan, berhubung pelan induk industri kayu, pelbagai pendekatan dilaksanakan bagi memetakan hala tuju industri perhutanan dan kayu di negeri ini menjadi tumpuan.
Antaranya:
i. Hutan ditanam sebagai sumber utama bahan mentah untuk mempromosikan pelaburan baharu dalam industri berasaskan kayu baharu, pengeluaran produk bernilai tambah tinggi dan kemajuan dalam industri kayu.
ii. Penerapan teknologi dan automasi canggih dalam industri kayu untuk mencapai kadar pemulihan yang tinggi, produktiviti tinggi, kecekapan kos dan meningkatkan daya saing.
iii. Meningkatkan inisiatif dan kolaborasi R&D dalam pelaksanaan hutan tanaman dan pengembangan produk.
iv. Untuk mengembangkan infrastruktur dan meningkatkan logistik untuk menyokong pertumbuhan dan pengembangan industri kayu produk tambah nilai yang tinggi sesuai dengan pasca - Covid-19, Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak (SEAC) dan misi dan sasaran Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi mencapai pendapatan eksport sebanyak RM8 bilion pada tahun 2030.
Untuk rekod, pendapatan hasil eksport kayu hingga suku ketiga tahun ini (Januari hingga September) menurun sebanyak 19 peratus iaitu RM2.81 bilion berbanding RM3.47 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu.
Sumber dari : Jiwa Bakti