MAC 2021

Sarawak Terima 31,590 Vaksin Pfizer-BioNTech Kumpulan Kedua Fasa Pertama


KUCHING: Sarawak menerima vaksin Pfizer-BioNTech kumpulan kedua fasa pertama melibatkan 31,590 dos yang dikhaskan untuk petugas barisan hadapan di negeri ini pada Rabu. 

Menurut Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak yang juga merupakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian dalam hantaran di laman Facebooknya, vaksin tersebut tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada jam 5.20 petang.

Penghantaran vaksin kumpulan kedua itu tiba dari Belgium dan seterusnya ke Singapura dan Subang sebelum tiba di Kuching pada Rabu. 

“Vaksin ini akan diagihkan ke tiga bahagian di Utara Sarawak melibatkan Miri, Bintulu dan Limbang. Manakala, 12 bahagian lain di negeri ini akan menerima vaksin secara berperingkat-peringkat,” katanya. 

Vaksin tersebut akan dihantar dan disimpan di tujuh Pusat Simpanan Vaksin (PSV) sebelum diedarkan ke 55 pusat pemberian vaksin (PPV) seluruh negeri.

Sarawak dijangka menerima baki empat penghantaran vaksin untuk fasa pertama dengan penghantaran ketiga dan keempat melibatkan 9,360 dos vaksin pada 10 dan 17 Mac depan.

Penghantaran ketiga pula dijadualkan pada 24 Mac melibatkan 14,040 dos dan penghantaran terakhir fasa pertama pada 31 Mac dengan 9,360 dos.

Terdahulu, 23,400 dos vaksin Pfizer-BioNTech telah tiba di Sarawak menerusi kumpulan pertama fasa pertama pada 24 Februari 2021. -EDISI UKAS

Sumber dari : Unit Komunikasi Awam Sarawak