NOVEMBER 2019

Sarawak Utamakan Pembangunan Secara Seimbang Dan Lestari


KUCHING: Kerajaan Sarawak sentiasa mengutamakan pembangunan secara seimbang dan lestari demi kelangsungan kesejahteraan rakyat pada masa depan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerajaan negeri tidak pernah lupa mengambil kira aspek penjagaan alam sekitar terutamanya dalam pengurusan pembangunan di seluruh sarawak.

Jelasnya, rakyat Sarawak seharusnya bersyukur kerana negeri ini tidak mengalami masalah pencemaran alam sekitar kerana kerajaan negeri mempunyai undang-undang dan peraturan untuk dipatuhi bagi tujuan pembangunan.

“Kita memang tidak lari daripada pembangunan dan pada masa sama kita harus menyeimbangkan pembangunan itu dengan keperluan penjagaan alam sekitar,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Stesen Pemantauan Kualiti Udara (IPU) Di Dewan Masyarakat Lundu, hari ini.

Sementara Itu, Awang Tengah memberitahu, sebagai langkah jangka masa panjang, kerajaan negeri telah meminda Ordinan Sumber Asli Dan Alam Sekitar 1993 dan diluluskan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri pada 5 November lepas.

“Antara tujuan pindaan ordinan itu adalah untuk meningkatkan jumlah hukuman terhadap kesalahan berkaitan pembakaran terbuka,” katanya.

Sementara itu, mengenai Stesen IPU di Lundu, Awang Tengah memberitahu, pembinaan stesen berkenaan menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri dalam memantau kualiti udara secara berterusan khususnya melibatkan kawasan sempadan negeri ini.

“Pembinaan stesen IPU ini menunjukkan keperihatinan Kerajaan Sarawak dalam memastikan pembangunan ekonomi yang kita jalankan tidak akan menjejaskan kualiti hidup masyarakat kerana pembangunan yang kita laksanakan berpandukan prinsip pembangunan mampan,” katanya.

Untuk rekod dengan siapnya Stesen IPU Lundu, maka Kerajaan Sarawak melalui Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) menguruskan empat stesen IPU yang terletak di sempadan antarabangsa Sarawak iaitu Tebedu, Lubok Antu, Lawas dan Lundu. –Edisi UKAS

Sumber dari : Unit Komunikasi Awam Sarawak