FEBRUARI 2021

Segera Masuk Penerima Tercicir Dalam Senarai Bantuan Makanan


KUCHING: Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan berjumlah RM6.52 juta bantuan makanan kepada penduduk yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sibu dan Kapit.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, sebanyak 88,857 isi rumah yang terjejas di kedua-dua bahagian direkodkan setakat ini.

"Sibu mencatatkan sebanyak 72,857 isi rumah manakala 16,000 dilaporkan di Kapit," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

 Awang Tengah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Rantaian Bekalan Makanan menambah, sebanyak 48,764 daripada 72,857 isi rumah telah menerima bantuan tersebut.  

Katanya, sebanyak 1,270 rumah panjang membabitkan 22,612 isi rumah yang terjejas  menerima bantuan yang sama.

"Jawatankuasa turut mengarahkan JPBB Sibu  mempercepatkan proses pengagihan bantuan kepada 24,047 baki daripada jumlah 50,245 isi rumah di bandar Sibu pada minggu ini.

"Sementara untuk Kapit, JPBB berjaya menghulurkan bantuan makanan kepada 6,681 daripada 16,000 isi rumah yang terjejas," katanya.

Beliau turut menggesa JPBB memasukkan isi rumah yang tercicir dalam senarai sebelum ini dengan segera.

Gambar: Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan semasa mengadakan sidang media. Turut hadir, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Sumber dari : Jiwa Bakti