FEBRUARI 2021

Vaksin: Jangan Sebar Berita Palsu


KUCHING: Kerajaan Sarawak akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memastikan rakyat di negeri ini menerima vaksin Covid-19 iaitu vaksin Pfizer-BioNtech. 

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, ini kerana kerajaan menyasarkan 70 peratus rakyat di negeri ini divaksin menjelang Ogos tahun ini. 

Menurutnya, tindakan itu bertujuan memastikan jangkitan harian Covid-19 di Sarawak berkurang sekali gus menghentikan penularan pandemik terbabit. 

"Oleh itu, kerajaan mengambil pendekatan dengan mengadakan kerjasama erat dengan KKM memastikan program imunisasi ini berjalan lancar," katanya. 

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas merasmikan Kempen Keselamatan Kebakaran Sempena Tahun Baharu Cina 2021 di Bilik Seminar, Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, di sini hari ini. 

Hadir sama Pengarah JPBM, Khirudin Drahman. 

Dr Sim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.14 Batu Kawa berkata, fasa pertama program vaksinasi membabitkan petugas barisan hadapan, fasa kedua membabitkan kumpulan berisiko iaitu warga emas atau individu mengalami masalah penyakit manakala fasa ketiga membabitkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas. 

Selain itu, Dr Sim turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mempercayai berita palsu mengenai risiko dan bahaya vaksin terbabit

Katanya, ini kerana ia menjalani beberapa kajian menerusi fasa yang ditetapkan, malah pakar perubatan di seluruh dunia juga mengatakan vaksin ini selamat digunakan.

Sumber dari : Jiwa Bakti