NOVEMBER 2019

Sekolah Antarabangsa Untuk Pelajar Cemerlang Dari Semua Peringkat Masyarakat


KUCHING, Sabtu: Lima buah sekolah antarabangsa yang bakal ditubuhkan oleh Kerajaan Sarawak adalah sekolah berbentuk berasrama penuh yang disasarkan untuk menerima pelajar cemerlang daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Sekolah-sekolah ini bukan dikhaskan untuk golongan berada sahaja tetapi merupakan suatu kaedah untuk memberi peluang kepada golongan kurang berada khususnya dari luar bandar untuk mendapat pendidikan bertaraf antarabangsa, kata YAB Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Zohari.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis menandatangani perjanjian kolaborasi antara Saradise Sdn. Bhd. dan Borneo International School (BIS) di sini pagi ini.

Kerajaan Sarawak bercadang untuk membina lima buah sekolah antarabangsa, dua di Kuching, sebuah di Sibu, sebuah di Miri dan sebuah di Bintulu.

Namun, beliau menjelaskan inisiatif ini bukan bertujuan untuk bersaing dengan pihak swasta.

Datuk Patinggi Abang Zohari menyatakan lepasan sekolah-sekolah ini disasarkan mendapat tempat di institusi pengajian tinggi yang tersohor di dunia seperti University Stanford, Harvard, Cambridge, Oxford dan lain-lain sebagai suatu usaha untuk mempersiapkan Sarawak ke arah Industri 4.0.

Beliau menyokong usaha pihak swasta untuk mendirikan sekolah-sekolah bertaraf antarabangsa di Sarawak selari dengan usaha Kerajaan Sarawak untuk memperkasakan pembangunan sumber manusia negeri dalam suasana ekonomi digital.

Saradise Sdn. Bhd. dan BIS akan berkerjasama untuk membina kampus BIS di Saradise di sini dan dijangka akan beroperasi pada 2023.

Sumber dari: Sarawakku