NOVEMBER 2019

Belanjawan Sarawak 2020 Berimpak Tinggi, Tumpuan Luar Bandar


KUCHING: Belanjawan Negeri Sarawak 2020 berjumlah RM9.891 bilion menyaksikan belanjawan memfokus kepada aspirasi rakyat dan pembangunan luar bandar.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg membentangkan Belanjawan Tahun 2020 Negeri Sarawak pada Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak Kelapan Belas di bangunan baharu Dewan Undangan Negeri Sarawak, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Abang Johari yang juga Menteri Kewangan berkata, daripada berjumlah RM9.891 bilion, RM6.597 bilion adalah untuk perbelanjaan pembangunan dan selebihnya RM3.294 bilion untuk perbelanjaan mengurus.

Menurutnya, dengan anggaran pendapatan RM10.067 bilion dan jumlah perbelanjaan RM9.694 bilion, dengan Bajet 2020 dijangka menjana lebihan RM373 juta.

Dengan bajet lebihan itu, katanya, ia akan membolehkan negeri Sarawak untuk terus mengekalkan rizab kewangan yang mapan dalam jangka masa panjang.

Beliau yang juga Menteri Perancangan Ekonomi menegaskan, tumpuan utama dalam anggaran Bajet 2020 itu ialah memberi keutamaan kepada projek yang berimpak tinggi dan mesra rakyat di bandar dan luar bandar.

Bajet bertemakan ‘Memacu Pembangunan Demi Kesejahteraan Rakyat Sarawak’.

Selain itu, katanya, Bajet 2020 juga mengutamakan komitmen untuk menyiapkan projek yang sedang dalam pelaksanaan, dibina dan membiayai projek persekutuan yang telah dibatal atau ditangguhkan oleh Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Bagi Bajet 2020, sejumlah RM6.597 bilion dicadangkan untuk membiayai pelbagai program dan projek di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) termasuk Projek Transformasi Luar Bandar dan projek rakyat serta Program Perumahan Rakyat Miskin Sarawak.

“Peruntukan RM6.597 bilion yang disediakan dalam Bajet 2020 tidak termasuk dalam peruntukan projek yang dibiayai di bawah tabung alternatif negeri,” katanya.

Katanya, kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan membangunkan negeri ini mengikut acuan sendiri.

Sumber dari: Jiwa Bakti