JANUARI 2021

Semua Laluan Pangkalan Feri Akan Dilengkapi Palang Penghadang, Arahan Serta-Merta


SEBUYAU: Semua laluan khas di pangkalan feri seluruh negeri ini akan dilengkapi dengan palang penghadang yang kukuh di bahagian tepi laluan tersebut.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing berkata, arahan itu berkuat kuasa serta-merta bagi mengelak kejadian yang tidak diingini seperti kejadian di feri Triso, semalam berulang.

"Sehubungan itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) diarahkan untuk membina palang penghadang itu dengan segera," katanya semasa melawat Pangkalan Feri Triso-Sebuyau hari ini.

Hadir sama Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Julaihi Narawi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.29 Beting Maro, Razaili Gapor dan ADUN N.35 Saribas Razi Sitam. 

James yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, dengan adanya palang penghadang itu nanti tiada kenderaan yang akan jatuh ketika menaiki dan turun dari feri.

"Selain itu, setiap pangkalan akan disediakan pengawal keselamatan bagi mengawal selia kenderaan yang hendak menggunakan perkhidmatan feri. 

"Berhubung pembinaan jambatan, terdapat sembilan jambatan yang akan dan sedang dibina pada masa ini di seluruh Sarawak. Ia mengambil masa empat tahun (hingga 2025) untuk siap termasuk Jambatan Triso-Sebuyau," katanya. 

Mengulas kejadian yang berlaku semalam, iaitu kenderaan tersebut jatuh dari kawasan feri berlabuh dan bukannya jatuh dari feri.

Katanya, Kerajaan Sarawak turut sedih dan berduka cita atas insiden menyayat hati yang mengorbankan sembilan nyawa semalam, di feri Triso.

Sumber dari : Jiwa Bakti