JANUARI 2021

Tiada Lagi Perkhidmatan Feri Menjelang 2025


KUCHING: Semua projek pembinaan jambatan di negeri ini sudah diluluskan oleh Kerajaan Sarawak termasuk pembinaan Jambatan Batang Lupar, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, peruntukan untuk membina Jambatan Batang Lupar ini sudah ada dan kini hanya menunggu untuk majlis pecah tanah pembinaan projek tersebut.

“Kita telah membuat tender untuk membangunkan Jambatan Batang Lupar itu,” katanya semasa sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Rakyat Dewan Sukan dan Komuniti, di tapak bekas kuari, Ang Cheng Ho di sini hari ini.

Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, pembinaan jambatan ini bermula daripada peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan GPS. 

Katanya, sebanyak RM5 juta digunakan untuk membina tujuh jambatan di jalan pesisir sekali gus akan menggantikan perkhidmatan feri di kawasan tersebut 

"Ini termasuk Jambatan Paloh, Jambatan Muara Lassa, Jambatan Krian, Jambatan Saribas, Jambatan Batang Lupar dan Jambatan Rambungan. 

"Semua projek jambatan ini dijangka siap sepenuhnya pada 2025," katanya. 

Bagi pembinaan Jambatan Batang Lupar, katanya ia dijangka mengambil masa empat tahun disiapkan kerana ia merupakan jambatan terpanjang iaitu lebih lima kilometer. 

Abang Johari turut memberi jaminan bahawa tiada sebarang tol dikenakan di setiap jambatan tersebut.

Sumber dari : Jiwa Bakti