MAC 2021

Skim Pembesaran Kampung Ikut Spesifikasi Baharu


SADONG JAYA: Permohonan Skim Pembesaran Kampung (SPK) Sadong Jaya dibuka 12 Mac lalu dengan memberi keutamaan kepada penduduk kampung tersebut. 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, keutamaan turut diberikan kepada penduduk berpendapatan rendah dan sederhana yang tidak memiliki tanah untuk membina rumah. 

"Selain itu, kerajaan juga akan mewujudkan industri kotej di SPK ini supaya penduduk dapat melibatkan diri dalam bidang perniagaan kecil dan sederhana," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan ke tapak SPK Sadong Jaya di sini, hari ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua menambah, SPK Sadong Jaya juga akan dilengkapi dengan kemudahan asas seperti dewan, surau dan padang bola sepak.

Sementara itu katanya, pembinaan SPK Sadong Jaya kini mengikut spesifikasi baharu seperti tanah akan ditembok terlebih dahulu, penggunaan sistem perparitan konkrit dan jalan raya yang berturap. 

Menurut Awang Tengah, kos pembinaan SPK seluas 25 hektar (64 ekar)  membabitkan kos sebanyak RM119,200 untuk setiap lot.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri hanya mengenakan premium tidak melebihi RM2,500 kepada penduduk dan boleh dibayar secara ansuran.

"Projek pelaksanaan dengan kos RM34 juta ini dijangka siap sepenuhnya pada 5 April depan," katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti