OGOS 2020

Sri Aman Harus Mendapat Suatu “Suntikan” Baharu Supaya Ekonomi Meningkat: Abg Jo


TEKS UCAPAN
YAB KETUA MENTERI SARAWAK SEMPENA
MAJLIS MALAM MESRA BERSEMPENA AMBANG SAMBUTAN
HARI KEBANGSAAN PERINGKAT
NEGERI SARAWAK 2020

SIMANGGANG
30 OG0S 2020, 8:00 MALAM

(A) UCAPAN KEPADA TUAN YANG TERUTAMA

1. Tuan Yang Terutama, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud Yang Amat Berbahagia, Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib,

2. Bagi pihak rakyat jelata, kola menjunjung kasih dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tun dan Toh Puan di atas kehadiran bersama rakyat sekalian dalam Majlis Malam Mesra bersempena Ambang Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak 2020.

3. Kehadiran Tun dan Toh Puan pada malam ini pasti memberi suntikan semangat kepada rakyat di Simanggang, dan Sarawak umumnya, untuk lebih mengenali erti Sarawak berdaulat di bawah payung negara yang lebih besar, iaitu Malaysia.

4. Sebagai seorang tokoh yang telah berpeluang untuk mengenali aspirasi Allahyarham Tunku Abdul Rahman, iaitu Perdana Menteri Malaysia yang pertama, apabila beliau mempelawa wilayah-wilayah lain termasuk Sarawak untuk bergabung di bawah naungan kedaulatan yang lebih besar, sememangnya Tun adalah tokoh yang selayaknya berkongsi isihati Tunku Abdul Rahman mengenai masa hadapan Malaysia yang ilhamkan oleh Tunku Abdul Rahman.

5. Sebagai seorang tokoh yang telah berada di peringkat persekutuan, saya percaya Tun adalah pemimpin yang sebaik-baiknya yang kita ada untuk memberi panduan kepada pemimpin-pemimpin muda bagaimana kepentingan negeri dan kepentingan nasional harus dilihat dalam perspektif yang memberi faedah kepada semua pihak.

6. Semoga kehadiran Tun dan Toh Puan pada malam yang berbahagia ini bersama rakyat jelata, khususnya masyarakat di Simanggang ini, mengukuhkan lagi pengertian bahawa kedudukan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri adalah institusi yang menyatupadukan rakyat berbilang bangsa dan agama di Bumi Kenyalang ini.

7. Sekarang kola mohon untuk berucap kepada para hadirin.

(B) SELAMAT DATANG

Salam Ibu Pertiwiku dan Salam Sejahtera dan Salam Sarawakku Sayang.

8. Saya mengucapkan selamat datang kepada semua saudara dan saudari sekalian yang sudi hadir pada malam ini sempena kita mempersiapkan diri untuk menyambut Hari Kebangsaan esok.

(C) PENGHORMATAN KEPADA SIMANGGANG

9. Tahniah kepada masyarakat Simanggang yang menjadi tuan rumah perayaan pada tahun ini.

10. Terima kasih kepada Ketua-Ketua Masyarakat dan semua yang hadir untuk sama-sama memeriahkan acara pada malam ini.

(D) KESEIMBANGAN PEMBANGUNAN

Saudara dan saudari sekalian,

11. Bahagian Sri Aman adalah sebuah kawasan pentadbiran yang ”senior” kerana telah wujud sejak zaman Rajah dan koloni dahulu.

12. Namun, pembangunan kawasan ini telah menjadi agak perlahan berbanding kawasan-kawasan pentadbiran baharu seperti Bintulu yang mempunyai sumber yang banyak di perut buminya. Ramai anak Sri Aman berhijrah ke tempat lain untuk mencari peluang yang lebih besar. Orang Bahagian Sri Aman banyak berada di Kuching, di Bintulu dan lain-lain untuk bekerja atau berniaga.

13. Saya percaya kawasan Sri Aman mempunyai potensi yang baik tetapi belum berupaya digilap, mungkin oleh kerana belum mendapat peluang yang secukupnya.

14. Berlatar belangkang hakikat ini, Kerajaan GPS Sarawak mempunyai iltizam untuk mempastikan kawasan Sri Aman mampu bergerak seiring dengan kawasan-kawasan lain yang sudah berada di hadapan.

15. Oleh yang demikian, sebagai usaha untuk mempastikan semua kawasan mampu bergerak bersama dalam arus pembangunan di negeri Sarawak, kawasan Sri Aman harus mendapat suatu ”suntikan” baharu dari segi kemudahan infrastruktur.

16. Saya yakin jaringan Lebuh Raya Kedua yang melewati Sri Aman melalui Sebuyau dan Lingga dan terus ke Roban akan memberi suntikan yang diperlukan untuk menghidupkan suasana ekonomi yang lebih ”vibrant” bagi kawasan Sri Aman.

17. Usaha-usaha untuk memajukan kawasan Sri Aman nanti akan digemblengkan melalui sebuah perancangan induk yang dipanggil Sri Aman Development Area atau SADA. SADA akan melihat keseluruhannya bagaimana Sri Aman boleh diangkat dari segi pembangunan ekonominya.

18. Kawasan ini berpotensi dari segi pertanian seperti tanaman padi dan nenas khususnya untuk tujuan eksport. Sarawak mempunyai potensi yang begitu besar dari segi pengeluaran makanan, namun potensi ini harus dimanfaat secara sistematik menggunakan teknologi dan kaedah pemasaran baharu.

19. Sektor pertanian keseluruhannya mendapat peruntukan RM700 juta tahun ini untuk memperkasakan bidang pertanian di Sarawak. Kerajaan Negeri sudah mempunyai pejabat perdagangan atau trade office di Singapura untuk mempromosi dan menyelaraskan kegiatan perdagangan dengan Singapura.

20. Trade office juga akan dibuka di Pontianak di Kalimantan dan di Brunei untuk tujuan sama, iaitu membuka pasaran bagi bahan-bahan makanan dari Sarawak.

21. Sarawak sekarang mengeksport ikan tilapia dari Lubok Antu, khinzir, telor ayam dan lain-lain ke Singapura. Banyak lagi bahan makanan yang boleh dieksport ke Singapura seperti terung dayak, asalkan standard kualiti makanan Singapura yang tinggi mampu kita penuhi. Singapura mahukan “food security” dan dari Singapura bahan makanan kita boleh dihantar ke negara lain.

22. Dari segi sektor pelancongan, memang kawasan Sri Aman ada potensi yang baik dengan adanya tempat-tempat seperti empangan Batang Ai, Culture and Nature Tourism bagi kawasan seperti Skrang dan Batang Lemanak, kehidupan Orangutan di Taman Negara Batang Ai, Benak Batang Lupar, kehidupan liar di kawasan paya tanah gambut seperti Taman Negara Maludam, dan lain-lain.

23. Pendek kata, saya amat berharap jajaran lebuh raya yang baharu ini nanti akan membuka kawasan Sri Aman kepada aktiviti pertanian dan pelancongan secara lebih intensif lagi untuk memberi manfaat kepada adik kakak kita di sini.

(E) PENUTUP

Saudara dan saudari yang dihormati,

24. Kita merasa bersyukur kerana Sarawak sebuah negeri yang aman dan rakyatnya sentiasa berusaha untuk mengekalkan perpaduan walaupun berlainan agama dan bangsa.

25. UNIFOR atau Unit for Other Religion yang ditugaskan untuk membantu agama-agama lain selain daripada Islam adalah bukti kesungguhan Kerajaan GPS Sarawak untuk menyatu-padukan rakyat pelbagai agama dengan memberi penekanan kepada semangat saling hormat-menghormati antara sesama mereka.

26. Sempena dengan Hari Kebangsaan yang kita raikan, saya yakin dan percaya rakyat yang saling faham-memahami antara satu sama lain adalah unsur-unsur yang akan memperkayakan lagi semangat kita untuk membina Malaysia yang lebih kukuh dan gah di mata dunia.

27. Sebagai mengakhiri ucapan ini, sekali lagi saya bagi pihak rakyat jelata mengucapkan setinggi terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan kerana sudi bersama rakyat di Simanggang pada malam ini untuk sama-sama memeriahkan malam Ambang Sambutan Hari Kebangsaan 2020.

28. Sekian, Wabillahi Taufiq Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sumber dari : Sarawakku