KUCHING: Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Idris Buang menggesa penduduk Sarawak, supaya tidak terpengaruh dengan komen berniat jahat mengenai pengiktirafan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) oleh Kerajaan Sarawak.
Katanya, pemberian surat hak milik tanah kepada bekas Menteri Kerja Raya Baru Bian, merupakan bukti kesungguhan Kerajaan Sarawak mengiktirafkan hak rakyat di bawah Seksyen 18.
"Fakta membuktikan penyukatan di bawah Seksyen 6 hanyalah “transit” atau “pendahulu” kepada Seksyen 18 membantu mempercepatkan pengeluaran surat hak milik tanah," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap kenyataan media yang dikeluarkan Baru, berhubung pengeluaran surat hak milik tanah yang diterimanya.
Situasi ini berlaku, berikutan perkara yang dijelaskan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam satu majlis di Miri minggu ini, yang bertujuan memudahkan orang ramai memahaminya.
Idris berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan itu, sepatutnya sedar tujuan Seksyen 6 dan 6A Kanun Tanah Negeri seperti yang dipinda sebelum ini.
"Namun, Baru memilih untuk bermain politik, sekali gus memberi gambaran yang jelas mengenai ia adalah alasan undang-undang di luar pemahaman kita," katanya.
Idris yang juga ADUN N.16 Muara Tuang berkata , wilayah domain (TD) yang dituntut oleh komuniti Baru di Lun Bawang adalah kawasan luas apabila disukat di bawah Seksyen 6.
“Kawasan itu dikenal pasti secara eksklusif sebagai hak komuniti Lun Bawang berbanding pihak lain, " katanya sambil menambah, penyukatan di bawah Seksyen 6 mungkin tidak dapat dilakukan sekiranya Baru dan keluarganya membantah tetapi, mereka tidak pernah membantah.
Justeru, sikap bisu dan senyap yang ditunjukkan oleh Baru dalam hal terbabit, membuktikan bahawa beliau bersetuju dengan proses penyukatan tanah di bawah Seksyen 6 sebelum dilanjutkan ke Seksyen 18.
“Penyukatan tanah di bawah Seksyen 18 dapat menjimatkan masa apabila TD mereka dibahagikan kepada lot individu sebelum dikeluarkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 6,” katanya.
Sumber dari : Jiwa Bakti