MAC 2021

Swinburne Kampus Sarawak Bakal Jadi Institusi Antarabangsa : Abg. Jo


KUCHING: Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak bakal menjadi institusi pengajian tinggi antarabangsa terkemuka di Malaysia menjelang tahun 2025. 

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyatakan  kerajaan negeri menerusi Yayasan Sarawak bekerjasama rapat dengan universiti berkenaan dalam mencapai matlamat terbabit. 

“Kita berusaha untuk mengembangkan universiti menjadi kampus bertaraf dunia di Kuching dengan kapasiti sekitar 5,000 pelajar dan ekosistem penyelidikan yang berkait rapat dengan Swinburne Melbourne. 

“Selaras dengan itu kerajaan negeri bersama dengan Swinburne Melbourne melalui perkongsian pencarian modal lebih RM50 juta bagi menaik taraf kampus untuk mewujudkan kemudahan bertaraf dunia untuk kebaikan semua pelajar,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan sambutan Ulang Tahun Ke-20 Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak di sini, hari ini. 

Abang Johari yang juga Pro Canselor Swinburne Sarawak berkata, projek menaik taraf kampus berkenaan yang dimulakan pada Disember 2020 dijangka mengambil masa 18 bulan untuk disiapkan. 

Katanya dengan siapnya projek itu nanti, ia menawarkan kemudahan yang bertaraf antarabangsa kepada pelajarnya terutama pelajar warga asing. 

“Untuk menjadi sebuah pengajian tinggi bertaraf antarabangsa menjelang 2025, sudah pasti kemudahan juga perlu memenuhi standard antarabangsa. 

Hadir sama Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong; Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan Timbalan Naib Canselor Swinburne Sarawak Profesor John Wilson.

Sumber dari : Sarawakku