KUCHING: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan POLI.design, Milan, Itali sebagai langkah mengukuh sinergi dalam bidang keilmuan dan penyelidikan.
Ia bertujuan meningkatkan kerjasama penyelidikan bahan-bahan tempatan selain melaksanakan program kemahiran pereka muda Sarawak sebagai usaha mempromosikan jenama negeri ke Itali dan di Eropah.
Selain itu, MoU itu juga akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara sekali gus mengembangkan perindustrian kayu Sarawak ke peringkat antarabangsa.
MoU yang diadakan secara maya menyaksikan STIDC diwakili Pengurus Besarnya, Hashim Bojet manakala POLI.Design diwakili Pengerusinya, Profesor Francesco Zurlo.
Mou tersebut turut disaksikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Lembaga Pengurusan STIDC, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Dalam perkembangan berkaitan, STIDC juga melaksanakan Program Latihan Pereka Muda Sarawak (SayD’SignersSarawak) sejak 2018 dengan kerjasama dua rakan strategik.
MoU itu dimeterai STIDC dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Fakulti Seni Rupa dan Reka Bentuk (FSRD), Institut Teknologi Bandung (ITB) di Indonesia.
Menerusi kerjasama itu dan juga bantuan daripada POLI.desain, pereka muda Sarawak akan dapat meningkatkan kemahiran mereka selain dapat meluaskan pengetahuan dalam bidang reka bentuk.
Sumber dari : Jiwa Bakti