OKTOBER 2020

TV Sarawak Mula Bersiaran 10 Oktober


SIBU: TV Sarawak akan mula bersiaran pada 10 Oktober ini bersempena perayaan Hari Lahir ke-84 TYT Yang di-Pertua Negeri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mamhud, umum Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Haji Johari Tun Abang Haji Openg di sini petang tadi.

Pelancaran TV Sarawak akan dilakukan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada keesokan harinya, kata Datuk Patinggi Abang Haji Johari dalam ucapan perasmian Konvensyen Khas PBB Zon Sibu di sini. 

TV Sarawak akan memulakan siaran pada sebelah petang 10 Oktober melalui saluran Astro 122, ujar beliau.

Sarawak adalah negeri pertama yang mempunyai stesen TV bertujuan untuk menyediakan platform kepada industri kreatif di negeri ini, jelas beliau.

Beliau melahirkan keyakinan TV Sarawak adalah medium yang efektif untuk memperkenalkan keunikan dan kekayaan budaya masyarakat pelbagai kaum di negeri Sarawak ke seluruh negara dan dunia.

Sambil memberi contoh kepada kejayaan Anak Sarawak di persada kebangsaan seperti Dayang Nurfaezah, Bob dan Miss Universe Malaysia Francisca Luhong, beliau berkata Sarawak mempunyai banyak bakat besar untuk diketengahkan melalui TV Sarawak.

TV Sarawak adalah di bawah kendalian Sarawak Media Group Sdn. Bhd, sebuah syarikat GLC yang diketuai oleh Suhaimi Sulaiman yang berpengelaman luas dalam bidang penyiaran sebagai Ketua Pegawai Eksekutif. 

Datuk Patinggi Abang Haji Johari ditemani oleh isteri, Datuk Amar Hajjah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang.

Terdahulu Pengerusi Jawatankuasa Pengelola, Datuk Alexander Nangga Linggi yang juga Setiausaha Agung PBB dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna turut berucap.

Sumber dari : Sarawakku