OKTOBER 2020

Perjelaskan Kepada Rakyat Hala Tuju Kerajaan GPS


KUCHING: Tindakan pembangkang menabur pelbagai dakyah terhadap kepimpinan dan dasar kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah tidak berasas sama sekali.

Naib Yang DiPertua Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, malah cerita yang dibawa oleh pembangkang itu ternyata tidak benar demi meraih sokongan dan perhatian rakyat terutama menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12).

“Sehubungan itu, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menjelaskan kepada rakyat perancangan dan hala tuju yang bakal dibawa oleh Ketua Menteri merangkap Yang DiPertua Parti PBB, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk memajukan negeri dan rakyat Sarawak,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat persiapan Konvensyen Khas Parti PBB Zon Kuching di Ibu Pejabat Parti PBB, Jalan Bako, hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Kanan Kerja Raya berkata, berkata empat konvensyen khas Parti PBB yang diadakan di Zon Utara, Zon Betong, Zon Sibu dan terakhir Zon Selatan (Kuching) pada 25 Oktober ini menjadi wadah untuk menerangkan kepada perwakilan mengenai perjuangan dan pencapaian Kerajaan GPS di bawah kepemimpinan Ketua Menteri.

“Menerusi konvensyen ini, saya menasihatkan perwakilan agar mendengar dan memahami isu-isu semasa dalam memperjuangkan hak Sarawak dan rakyatnya. Dengan penerangan ini, kita mampu berdepan dan menangkis segala tohmahan pembangkang yang tidak benar sama sekali,” katanya.

Mengenai Konvensyen Khas Parti PBB Zon Kuching pada 25 Oktober nanti, Fadillah berkata, masalah tanah dan perumahan yang ada hubung kait dengan kehidupan di zon selatan menjadi topik utama yang akan dibentangkan.

Konvensyen Zon Kuching itu akan dihadiri 1,254 perwakilan dari 25 cawangan Parti PBB di sini. Ia akan dirasmikan oleh Datuk Patinggi Abang Johari di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 25 Oktober ini. Tema konvesyen ialah ‘Hak Sarawak Diutamakan, Pembangunan Diperkasakan’.

Sumber dari : Jiwa Bakti