Ogos 2019

Tambah Kapasiti Bekalan Air Pada Musim Kemarau


LUNDU: Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) diminta menambah kapasiti bekalan air untuk keperluan penduduk di kawasan Lundu sebagai persiapan menghadapi musim kemarau yang dijangka berterusan sehingga September depan.

Pegawai Daerah Lundu, Gustian Durani berkata JBALB akan menggunakan lima unit Smart Water Treatment jika diperlukan dan membekalkan tangki simpanan air bersih komuniti untuk ditempatkan di kawasan-kawasan kampung.

Katanya, ini bagi memastikan bekalan air bersih yang dihantar mengandungi sukatan klorin yang telah ditetapkan.

“Kita (Pejabat Daerah Lundu) akan memantau penghantaran bekalan ke setiap kampung-kampung nanti,” katanya semasa mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Lundu hari ini.

Beliau berkata, kuantiti air di Loji Rawatan Air Lundu sebanyak dua juta liter air sehari dan tiga juta liter air sehari di Stesen Pam Penggalak Batang Kayan hanya akan siap pada penghujung Oktober 2019.

Tambahnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)menyenaraikan sebanyak 110 kampung di kawasan itu menerima bekalan air bersih dari JBALB dan JKM bagi menghadapi kemarau dan JKM akan menambah bekalan air botol.

Sehubungan itu, beliau meminta sembilan agensi terlibat siap siaga jika berlaku kebakaran hutan semasa bencana kemarau.

Mesyuarat yang berlangsung di bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Lundu turut dihadiri agensi Jabatan Meteorologi Sarawak, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Daerah Lundu, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Jabatan Kebajikan Mesyarakat Daerah Lundu (JKM) Sarawak Energy, Jabatan Pendidikan Daerah Lundu, SALCRA dan Polis DiRaja Malaysia Daerah Lundu.

Mesyuarat itu turut diberi penerangan daripada Sarawak Energy berhubung penambahabaikan tiang elektrik di kawasan Lundu, Sematan dan Telok Melano yang dijangka siap dalam tempoh 40 hari membabitkan kos RM160 juta.

Untuk persediaan banjir, katanya Pejabat Daerah Lundu dan JKM akan menyemak semula pusat-pusat pemindahan bencana serta kemudahan yang diperlukan di pusat pemindahan.

Selain itu pihak APM juga akan melawat kawasan berisiko banjir serta mengenal pasti punca berlaku banjir.

Majlis Daerah Lundu juga diminta menghantar laporan dan semakan perbelanjaan pengurusan.

Justeru, Pegawai Daerah Lundu meminta kerjasama komuniti setempat menyampaikan maklumat dan aduan mesti melalui saluran betul untuk tindakan bersama sama ada ke Pusat Khidmat N3 Tanjong Datu, Pejabat Daerah Lundu dan agensi terbabit.

Sumber dari: Jiwa Bakti