KUCHING: Susulan sambutan yang menggalakkan, Kerajaan Negeri Sarawak akan meneruskan kadar rata tambang bas RM1 pada tahun 2021.
Menteri Pengangkutan, Datuk Lee Kim Shin berkata, sejak dilaksanakan pada Mei lalu, semakin ramai orang awam menggunakan bas sebagai pengangkutan harian mereka.
"Inisiatif Kerajaan Sarawak ini bertujuan menggalakkan lebih banyak orang ramai menggunakan pengangkutan awam bas dan secara tidak langsung mengurangkan jumlah kenderaan persendirian di atas jalan raya.
"Program ini pertama kali dilancarkan pada Mei 2020 yang melibatkan 12 syarikat bas merangkumi 48 laluan bas yang diluluskan oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (CVLB) di tiga bandar utama di negeri ini iaitu Kuching, Sibu dan Miri," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurut Lee, program ini mendapat sambutan yang luar biasa daripada orang ramai apabila seramai 206,470 penumpang direkodkan pada Oktober berbanding 12,657 penumpang pada bulan pertama pelaksanaannya iaitu pada Mei.
Angka penumpang terus meningkat setiap bulan yang mana seramai 77,242 penumpang pada Jun, 157,873 (Julai), 175,877 (Ogos), 184,839 (September) dan 197,686 (November).
Lee menambah, dengan cadangan pemulihan perkhidmatan bas oleh syarikat bas yang berminat, program ini akan diperluas ke Bintulu mulai awal 2021.
"Bagi menambah baik program ini, pelbagai usaha akan dilakukan oleh Kementerian Pengangkutan Sarawak bersama-sama dengan agensi-agensi berkaitan terutamanya Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memperbaiki infrastruktur yang berkaitan termasuk menaik taraf dan membina stesen bas baharu dan perhentian bas di negeri ini.
"Semua bandar di Sarawak harus mempunyai stesen bas sendiri untuk keselesaan dan kemudahan pengguna," ujarnya.
Gambar hiasan
Sumber dari : Jiwa Bakti