MEI 2021

Uggah Lawat Pusat Sehenti Covid-19


KUCHING: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah mengadakan lawatan ke Pusat Sehenti dan Pusat Penilaian  Covid-19 di sini, hari ini.

Lawatan yang diadakan di Dewan Masyarakat Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) itu bertujuan melihat sendiri operasi dan aktiviti harian pusat berkenaan dalam menguruskan isu berkaitan Covid-19.

Semasa lawatan, Uggah diberi taklimat oleh Ketua Komander Pusat, Dr Cheong Yaw Liang, Pegawai Perubatan Bahagian Kuching, Dr Eunice Mellisa Joseph dan Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit Negeri Hospital Umum Sarawak (HUS), Dr Chua Hock Hin.

Antara intipati taklimat tersebut ialah mengenai objektif dan fungsi pusat sehenti, penilaian tanda dan gejala Covid- 19, kompaun pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) serta pengeluaran pesanan kuarantin dan pelepasan.

Untuk rekod, pusat tersebut mula dibuka pada 3 Mei dari jam 9 pagi hingga 5 petang pada hari bekerja dan dari jam 8 pagi hingga 12 malam pada hujung minggu dan cuti umum.

Seramai 3,408 individu telah menjalani ujian saringan di pusat berkenaan, 2,407 individu disaring menerusi pandu lalu, 84 datang untuk penilaian tanda dan gejala, 1,101 dikeluarkan pesanan kuarantin, 335 individu diberikan pesanan pelepasan manakala dua individu dikeluarkan kompaun.

Turut hadir, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri Muda Utiliti (air) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Datuk Bandar MBKS, Datuk Wee  Hong Seng dan Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan, Datuk Dr Chai Khin Chung.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion turut melakukan lawatan ke pusat tersebut ditemani timbalannya, Datuk Ik Pahon Joyik.

Sumber dari : Jiwa Bakti