MEI 2021

Kerajaan GPS Utamakan Usaha Perangi Jangkitan Covid-19


KUCHING: Kerajaan Sarawak mengambil keputusan tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebaliknya hanya mengenakan Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) di beberapa tempat tertentu.

Perkara itu disahkan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menerusi kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, keputusan tersebut dilaksanakan berpandukan data dan pengalaman di lapangan yang dilakukan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) sebelum ini.

Katanya, ia sejajar dengan dasar “Jejak, Uji, Kuarantin, Sisih” apabila kaedah itu dilihat lebih praktikal berbanding melaksanakan PKP.

"Melaksanakan PKP secara menyeluruh akan mendatangkan kemudaratan kepada ekonomi negeri yang sudahpun menerima kesan yang hebat disebabkan penguatkuasaan PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebelum ini," katanya.

Sehubungan itu beliau menjelaskan bahawa kerajaan memutuskan tidak melaksanakan PKP supaya ekonomi negeri akan terus dijana agar rakyat tidak hilang pekerjaan dan program pembangunan akan terus terlaksana.

Abang Johari menambah, kerajaan kini turut memberi tumpuan kepada usaha untuk mengekang jangkitan di samping melaksanakan program imunisasi bagi 2.08 juta rakyat yang layak menerima vaksin.

Selain itu katanya, kerajaan juga berusaha untuk mendapatkan bekalan vaksin yang mencukupi termasuk berunding dan membuat perolehan sendiri daripada pembekal supaya program imunisasi dapat diselesaikan menjelang Ogos kelak. 

Tambah beliau lagi, setakat ini Covid-19 telah mengorbankan banyak nyawa di Sarawak dan disebabkan itu Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan memberi keutamaan kepada usaha untuk memerangi jangkitan tersebut.

"Harga setiap nyawa tidak dapat dinilai. Perkara-perkara lain seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) boleh ditunda sehingga keadaan mengizinkan," katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti