OKTOBER 2019

Warisan Terus Dipertahan, Bawa Ke Persidangan DUN - Abg Johari


KUCHING: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang bakal menyaksikan beberapa peruntukan berkaitan warisan akan ditambah baik.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu penting sebagai usaha untuk mempertahankan warisan di Sarawak.

"Ia bukan sahaja melibatkan usaha mempertahankan bangunan atau struktur tetapi turut merangkumi budaya masyarakat," katanya ketika berucap merasmikan Penangguhan Temasya Warisan Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) 2019 di sini, petang ini.

Temasya Warisan OKSHE 2019 berlangsung dari 6 hingga 26 Oktober itu dianjurkan Persatuan Kesenian dan Warisan Melayu Kuching (KEWARISMA) dengan kerjasama OKSHE.

Malah menurutnya, kerajaan Sarawak juga akan terus meningkatkan prasarana warisan di negeri ini.

"Kita (kerajaan Sarawak) adil kepada semua kaum namun pada masa sama kita tidak mahu meminggirkan budaya Melayu," ujarnya.

Abang Johari turut mengingatkan masyarakat Melayu di Sarawak perlu terus bersatu supaya dapat mencapai kemajuan pada masa akan datang.

"Orang Melayu hendaklah sentiasa bersemangat seperti seni silat dan tidak mudah mengalah.

"Kalau orang Melayu dapat seiring sejalan maka kita akan berjaya pada masa depan," jelasnya.

Beliau juga mahu masyarakat Melayu sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu terkini termasuk berkaitan dasar kerajaan Sarawak yang memfokuskan kepada ekonomi digital.

"Saya memperkenalkan konsep ekonomi ini adalah untuk semua. Jadi, orang Melayu juga perlu menyumbang," kata Abang Johari.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Menteri Muda Pembangunan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Datuk Mohd Naroden Majais.

Sumber dari: Jiwa Bakti