BINTULU: Rakyat Sarawak harus memberi keyakinan dan kepercayaan kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk membawa negeri ini maju menjelang tahun 2030.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, keyakinan itu membuktikan rakyat Sarawak boleh berdiri atas kaki sendiri untuk menentukan hala tuju pembangunan Sarawak.
Dalam memajukan Sarawak katanya, beliau dan rakan-rakan dalam GPS tidak mampu membangunkan Sarawak tanpa sokongan daripada rakyat sendiri.
“Lebih 50 tahun kita telah mengharapkan orang lain membantu kita supaya Sarawak boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negeri-negeri yang sudah maju.
“Yakinlah wahai anak Sarawak. bahawa kita boleh berdiri atas kaki sendiri untuk menentukan hala tuju pembangunan,” katanya semasa berucap di majlis Sambutan Hari Sarawak di Jalan Lapangan Terbang lama, di sini, hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib serta isteri Ketua Menteri, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Abang Johari berkata, segelintir rakyat sudah mula lupa perjuangan bersama untuk mempertahankan hak-hak Sarawak dan rela dikuasai oleh orang lain untuk kepentingan masing-masing.
“Namun, sempena perayaan Hari Sarawak pada tahun ini saya dan rakan-rakan berdoa dan mengajak seluruh rakyat Sarawak berdoa agar Bumi Kenyalang ini selamat daripada penguasaan pihak luar dan sentiasa dipelihara Allah SWT,” katanya.
Sementara itu, hujan renyai tidak mematahkan semangat masyarakat Bintulu untuk turut sama meraikan sambutan yang julung kali diadakan di luar Kuching.
Sumber dari: Jiwa Bakti