KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud percaya rakyat di negeri ini meletakkan harapan yang amat tinggi terhadap Kerajaan Persekutuan untuk meneruskan pembangunan di negeri Sarawak.
Beliau berkata, segala janji dalam manifesto pilihan raya umum lalu hendaklah dilaksanakan dengan baik dan memberi manfaat kepada rakyat.
Negeri Sarawak masih memerlukan projek-projek infrastruktur dan kemudahan asas khususnya di luar bandar, katanya semasa merasmikan pembukaan Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-18 di sini hari ini.
Sambil mengucap tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad atas perlantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-7, Yang di-Pertua Negeri berkata, jaringan jalan raya perlu ditingkatkan dan liputan bekalan air dan elektrik perlu diperluaskan memandangkan negeri Sarawak amat luas.
“Penyediaan perkhidmatan pendidikan dan kesihatan yang berkualiti kepada rakyat perlu diperkasakan dan kawalan keselamatan juga hendaklah diperketatkan untuk memastikan rakyat di negeri ini hidup dalam keadaan aman dan damai,” katanya.
Tun Taib juga berkata, projek-projek Kerajaan Persekutuan yang memberi impak besar kepada Sarawak hendaklah diteruskan khususnya projek di luar bandar.
“Projek infrastruktur seperti Lebuh Raya Pan Borneo hendaklah disiapkan mengikut perancangan kerana ini amat penting kepada pembangunan sosioekonomi negeri Sarawak,” tegas beliau.
Sokongan Kerajaan Persekutuan, katanya, juga diperlukan supaya pembangunan digital ekonomi Sarawak dapat dilaksanakan dengan jayanya untuk merapatkan jurang digital di antara Sarawak dengan kawasan yang lebih maju di Malaysia.
Yang di-Pertua Negeri berkata, beliau gembira kerana kerajaan negeri akan mengambil pendekatan mesra dan bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha penting untuk meneruskan pembangunan negeri Sarawak tanpa mengira parti politik dan memerintah.
“Kerjasama yang ditawarkan kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan jelas menunjukkan kematangan kepimpinan politik di negeri ini dan pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat seharusnya mendahului kepentingan politik.
“Saya berharap Kerajaan Persekutuan akan melaksanakan tanggungjawabnya kepada pembangunan di negeri Sarawak selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Saya percaya keikhlasan kerajaan negeri untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan akan memastikan segala perancangan pembangunan di negeri ini akan dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.