SARIKEI: Seramai 132 murid Sekolah Kebangsaan (SK) St Andrew Sare di sini teruja apabila menikmati suasana pembelajaran lebih selesa di bangunan baharu yang disediakan kerajaan melalui Program Sistem Pembangunan Industri (IBS).
Projek yang bernilai RM2.3 juta itu dikemukakan oleh Datuk Norah Tun Abdul Rahman yang juga mantan Ahli Parlimen Tanjung Manis.
Bangunan yang dibina dalam tempoh empat bulan berkenaan bukan sahaja mempunyai enam bilik kelas tetapi turut dilengkapi dengan kemudahan elektrik, bilik kelas, perabot dan lain-lain.
Guru Besar sekolah, Angkau Raieng dalam ucapannya berkata, bangunan itu mempunyai enam bilik kelas, lampu, kipas, papan putih, alat pemadam api dan kerusi meja bagi setiap kelas.
“Saya percaya dan menaruh harapan amat tinggi, prasarana baharu ini mampu meningkatkan lagi semangat murid dan guru sekolah ini untuk mencapai prestasi akademik yang lebih baik,” katanya.
Majlis perasmian disempurnakan Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh.
Hadir sama, Residen Bahagian Sarikei, Mohamad Junaidi Mohidin, Penolong Pegawai Pendidikan Sarikei, Faustino Frederick Empran, Pengurus Projek Jabatan Kerja Raya Sibu, David Wong Bak Soon, Pengurus Erakristal Sdn Bhd, Mohd Amin Adenan.
Sehubungan itu, Len yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.41 Kuala Rajang berharap, Kerajaan Persekutuan terus memberi tumpuan terhadap usaha menaik taraf kemudahan sekolah pedalaman dan luar bandar negeri ini.
Menurutnya, masih banyak sekolah luar bandar Sarawak dalam keadaan usang dan daif serta memerlukan perhatian kerajaan.