OGOS 2018

Penduduk luar bandar perlukan jambatan – Yusuf Abd Wahab


SARIKEI: Ahli Parlimen P206 Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab menyifatkan kenyataan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun sebagai mengecewakan terutama bagi penduduk pedalaman Sarawak yang amat mengharapkan pembangunan.

Beliau berkata, jambatan merupakan salah satu prasarana penting yang amat diperlukan oleh penduduk pesisir bagi memudahkan perhubungan mereka.

Malah melalui jambatan katanya, tempoh perjalanan menjadi pendek berbanding menggunakan feri yang mengambil masa agak lama kerana terpaksa merentasi sungai.

“Saya mengambil contoh kawasan Tanjung Manis yang amat memerlukan dua jambatan di Batang Paloh dan Muara Lassa. Ketika ini pengguna jalan raya bergantung kepada feri. Bagaimanapun, ada ketika mereka terpaksa berbaris berjam-jam terutama pada musim cuti dan perayaan.

“Saya ingin bertanya kepada beliau (Rina) apakah beliau pernah pergi ke Tanjung Manis? Jika beliau kata penduduk pedalaman menolak kemudahan prasarana seperti jambatan, itu sesuatu menghairankan, ” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, jambatan merupakan pelengkap kepada pembangunan kawasan pesisir dan hadiah yang cukup istimewa bagi penduduk setelah sekian lama menunggu perbinaan kemudahan berkenaan.

Ujarnya, negeri ini amat luas dan penempatan penduduk pula bertaburan terutama di kawasan luar bandar.

“Kemudahan perhubungan seperti jambatan, jalan raya perlu ditingkatkan dan bekalan air dan elektrik juga perlu diperluaskan. Begitu juga dengan perkhidmatan pendidikan dan kesihatan yang berkualiti kepada rakyat mesti diperkasakan.

“Justeru, saya ingin beliau (Rina) memberitahu siapa orang Sarawak yang menolak kemudahan ini (jambatan)?” tanyanya.

Terdahulu, beliau menyertai penduduk menyempurnakan ibadah korban di perkarangan masjid al- Mutaqqin Sarikei.

Pada Aidiladha kali ini Yusuf menyumbangkan peruntukan sebanyak RM43,000 untuk surau dan masjid di Parlimen Tanjung Manis.