BETONG: Layar Merdeka Fun Ride 2.0 sempena penganjuran Layar Cycling Carnival (LCC) Edisi 2018 berjaya menarik penyertaan 170 pengayuh terdiri daripada pelbagai latar belakang.
Kayuhan sejauh 9.6 kilometer yang bermula di Komplek Sukan Betong menuju ke Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Layar diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Gerald Jabu bertujuan menghangatkan sambutan Hari Kebangsaan pada hari ini.
Menurut Gerald, Layar Merdeka Fun Ride 2.0 antara salah satu pengisian LCC Edisi 2018 yang dijalankan secara santai.
“Kami berkayuh beramai-beramai… seronok. Kita akan meneruskan ‘fun ride’ seperti ini pada masa akan datang,” katanya.
Jelasnya, penyertaan dilihat tidak mengecewakan apabila ramai pengayuh dari kawasan sekitar yang datang.
Pelepasan kayuhan merdeka itu telah disempurnakan Penasihat Sains Penyelidikan Negeri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang yang hadir ditemani isteri Tan Sri Dato’ Sri Empiang Jabu.
Hari ini turut berlangsung perlumbaan basikal kategori Criterium bagi kelas veteran, junior, wanita, tertutup Betong dan terbuka lelaki/tertutup Sarawak.
Sementara esok (Sabtu) akan diteruskan perlumbaan cabaran lebuh raya Layar 100 kilometer (kelas junior, veteran dan terbuka lelaki/tertutup Sarawak).